
SIBU: Penubuhan Makmal Kateterisasi (CathLab) dan Perkhidmatan Kardiologi di Pusat Perubatan Rejang (RMC) disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh perkhidmatan rawatan jantung di wilayah tengah Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, kemudahan itu membolehkan prosedur intervensi koronari perkutaneus primer(PCI) dilaksanakan dengan segera kepada pesakit serangan jantung, sekali gus meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa.
Menurutnya, kewujudan CathLab di RMC bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk di Sibu, malah turut membantu pesakit dari kawasan berhampiran seperti Kapit, Sarikei, Mukah dan Kanowit.
“Jika Kerajaan Persekutuan tidak mampu menyediakan perkhidmatan kardiologi, mereka sepatutnya mendapatkan perkhidmatan itu daripada pihak lain, bukannya membiarkan pesakit menunggu rawatan selama bertahun-tahun.
“Perkhidmatan kardiologi sudah tersedia di sini. Mengapa tidak merujuk pesakit ke RMC untuk menjalani angiogram koronari atau angioplasti koronari? Jika kerajaan tidak dapat menyediakan perkhidmatan itu sendiri, maka ia sepatutnya mendapatkan perkhidmatan daripada pihak lain demi kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Rasmi Makmal Kateterisasi (CathLab) dan Perkhidmatan Kardiologi RMC, di sini, hari ini.
Annuar berkata, sekiranya hospital kerajaan berdepan tempoh menunggu yang panjang bagi sesuatu rawatan, pesakit wajar dirujuk ke hospital swasta supaya mereka dapat menerima rawatan tanpa kelewatan.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja mengutamakan kebajikan pesakit, malah lebih berkesan dari segi kos kerana kerajaan tidak perlu menanggung perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan atau berdepan kadar pertukaran doktor yang tinggi.
“Dari sudut ekonomi, pendekatan ini lebih baik. Kerajaan tidak perlu menanggung kos penyelenggaraan kemudahan dan tidak perlu bimbang mengenai kadar pertukaran doktor yang tinggi.
“Doktor di hospital kerajaan sering meletakkan jawatan dan berpindah ke tempat lain, manakala pakar di sektor swasta lazimnya berkhidmat untuk tempoh yang lebih lama,” katanya.
Beliau berharap kewujudan perkhidmatan kardiologi di RMC dapat melengkapkan ekosistem penjagaan kesihatan di Sarawak, sekali gus meningkatkan akses rakyat kepada rawatan jantung yang berkualiti tanpa perlu mendapatkan rawatan di luar wilayah.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek, Ahli Dewan Negara Robert Lau Hui Yew, Ketua Pegawai Eksekutif RMC Dr John Tang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting, wakil Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh.
Oleh Tarani Lanting