KUCHING: Cat City Fest yang diadakan selama empat hari iaitu pada 3 hingga 6 Mac 2022 bertempat di Majma’ Mall anjuran Dang Anum telah membuka ruang kepada penggemar barang lama atau vintage untuk berkunjung dan membeli-belah.
Pengurus Dang Anum, Aidil Mohamad berkata, sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai selama empat hari Cat City Fest diadakan di Majma’ Mall.
“Dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan pematuhan para pengunjung, kira-kira lebih dari seribu pengunjung yang hadir memeriahkan Cat City Fest selama empat hari bermula pada 3 Mac lepas.
“Terdapat 50 gerai pameran dan 72 peniaga (vendor) yang turut serta dalam Cat City Fest. Pelbagai barangan terpakai (bundle/prelove), barang vintage, kasut, aksesori dan sebagainya ada dijual disini,” jelas beliau ketika ditemu bual semalam.
Jelas beliau, perancangan seterusnya adalah untuk mengadakan Cat City Fest Volume 2 berskala besar selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri. Kita sasarkan program ini akan diadakan dua kali setahun dan juga dalam perancangan untuk mengadakan Cat City Fest Tour.
“Kami pihak penganjur berbesar hati sekiranya program Cat City Fest mendapat perhatian daripada pihak kementerian seperti Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
“Ini kerana, objektif program seperti ini diadakan adalah untuk membantu para peniaga yang terjejas ekonomi mereka akibat pandemik Covid-19. Sedikit sebanyak dapat membantu orang kita untuk menstabilkan ekonomi dan barang jualan mereka,” katanya.
Jelasnya lagi, di antara aktiviti sampingan sepanjang Cat City Fest diadakan ialah persembahan daripada artis dan band tempatan Sarawak.
“Terima kasih juga kepada pihak pengurusan Majma’ Mall yang banyak membantu dalam menjayakan program ini.”
Sementara itu, peniaga (vendor) The Private Room Udin, 24, berkata, sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan dan jualan kami selama empat hari amat memberangsangkan.
“Saya berharap pihak penganjur akan terus mengadakan program jualan seperti ini untuk membantu kami meningkatkan kembali ekonomi yang sudah terjejas sejak dua tahun lepas.”
Orang awam, Fazli Ahmad berkata, beliau adalah penggemar barang terpakai (bundle) dan barang vintage dan dengan adanya program seperti ini menarik perhatian beliau untuk berkunjung dan membeli-belah.
“Saya berpuas hati dengan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Tidak terlalu sesak dan pelbagai barang menarik yang boleh didapati.”
Oleh AZREEN KERIA