
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan caruman mandatori bagi pekerja bukan warganegara Malaysia bermula Oktober ini sebagai langkah memperkukuh perlindungan sosial dan menyokong amalan pekerjaan lebih adil selaras piawaian antarabangsa.
KWSP dalam kenyataan hari ini memaklumkan caruman KWSP akan diwajibkan untuk semua pekerja bukan warganegara di Malaysia yang mempunyai pasport dan pas kerja sah Jabatan Imigresen kecuali pembantu rumah.
“Pelaksanaan undang-undang ini berkuat kuasa bermula gaji Oktober 2025, iaitu bagi caruman November 2025. Kadar caruman bagi pekerja dan majikan masing-masing ditetapkan pada dua peratus daripada gaji bulanan.
“KWSP sedang mempergiat usaha libat urus dan rundingan bersama majikan serta pihak berkepentingan utama bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang menyeluruh menjelang pelaksanaan undang-undang baharu mewajibkan caruman itu,” menurut kenyataan terbabit.
KWSP memaklumkan lebih 30 sesi libat urus strategik telah dijalankan sejak pengumuman caruman itu dalam Belanjawan 2025, antaranya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), JIM, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil majikan dan pekerja asing.
“Pendekatan menyeluruh sesi libat urus ini dapat memastikan keselarasan antara hala tuju dasar dan tahap kesiapsiagaan bagi menyokong pelaksanaan dasar baharu yang berkesan di seluruh ekosistem.
“Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan majikan dan pekerja serta menyediakan maklumat jelas dan mudah diakses mengenai mekanisme pendaftaran serta bayaran caruman,” menurut kenyataan itu.
KWSP memaklumkan buat masa ini penyertaan pekerja bukan warganegara Malaysia dalam skim KWSP adalah secara sukarela.
Pelaksanaan caruman mandatori KWSP kepada kumpulan ini langkah penting menyokong agenda nasional untuk memastikan semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan mendapat akses kepada perlindungan sosial, sekali gus memupuk kesaksamaan dan keadilan dalam pasaran tenaga kerja,” menurut kenyataan itu.
KWSP menggesa semua majikan mendaftarkan syarikat mereka melalui laman web rasmi www.kwsp.gov.my atau di pejabat KWSP seluruh negara bagi memastikan pematuhan pelaksanaan caruman itu.
Majikan dan pihak berkepentingan juga boleh merujuk halaman khusus di laman web KWSP dalam masa terdekat, bagi garis panduan pelaksanaan, soalan lazim serta makluman berkala atau menghubungi Pusat Perhubungan dan Nasihat Perkhidmatan KWSP 03-89226000 bagi pertanyaan lanjut. – Bernama.