
MANCHESTER, United Kingdom: Michael Carrick percaya penilaian terhadap tempoh khidmatnya sebagai pengurus Manchester United wajar dibuat hanya pada penghujung musim, walaupun semakin ramai yang mendesak bekas pemain tengah itu diberikan kontrak jangka panjang.
Carrick telah memenangi kesemua empat perlawanan sejak mengambil alih tugas bulan lalu, sekali gus melonjakkan United ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.
Buat masa ini, pengendali berusia 44 tahun itu hanya akan mengemudi pasukan sehingga tamat musim.
Namun, kebangkitan prestasi Red Devils di bawah kendaliannya menyaksikan Carrick dibanjiri soalan mengenai peluangnya untuk dilantik secara tetap.
United akan bertandang ke padang West Ham yang bergelut awal pagi esok, dengan peluang untuk naik ke tangga ketiga liga sekurang-kurangnya selama 24 jam sebelum Aston Villa menentang Brighton.
“Ia bukan soal menilai sejauh mana baik atau berjaya (kami) ketika ini, kerana sebenarnya belum banyak yang berlaku,” kata Carrick.
“Kami harap masih banyak lagi yang perlu dilakukan antara sekarang hingga penghujung musim, dan selepas itu barulah kita lihat apa yang akan berlaku.”
Kapten United, Bruno Fernandes, berkata selepas kemenangan 2-0 ke atas Tottenham pada Sabtu bahawa Carrick akan menjadi seorang “pengurus yang hebat”.
Peralihan kepada formasi empat pertahanan dan pengembalian Kobbie Mainoo ke bahagian tengah merupakan dua perubahan besar yang dilakukan Carrick berbanding tempoh 14 bulan Ruben Amorim yang berakhir dengan kegagalan.
Namun, perubahan formasi itu juga menyaksikan Fernandes digerakkan ke peranan tengah yang lebih menyerang, di mana pemain Portugal itu semakin menyerlah.
“Saya faham betapa pintarnya dia sebagai seorang pemain bola sepak. Dia cerdas, dia amat mengambil berat tentang kelab ini, jadi dari sudut itu kami semua mahukan perkara yang sama,” tambah Carrick mengenai Fernandes.
“Sudah tentu ia menggembirakan apabila pemain yang anda hormati — seperti saya menghormati Bruno — berkata perkara baik tentang anda, tetapi akhirnya ia mengenai pasukan, mendapatkan yang terbaik daripada pasukan, dan itu hanya boleh dicapai dengan kerjasama semua.”
Kemenangan di Stadium London juga boleh membawa kelegaan kepada seorang penyokong United yang telah menunggu hampir 500 hari untuk memotong rambutnya.
Frank Ilett telah mengumpul lebih dua juta pengikut di media sosial sejak berjanji pada Oktober 2024 untuk membiarkan rambutnya panjang sehingga United mencatat lima kemenangan berturut-turut.
“Saya boleh katakan saya sedar tentang perkara itu,” kata Carrick.
“Anak-anak saya yang memberitahu saya mengenainya, jika hendak diikutkan, tetapi ia pasti tidak akan dimasukkan dalam ucapan sebelum perlawanan secara profesional.
“Saya faham apa yang berlaku dan ia memang membuatkan saya tersenyum, tetapi akhirnya ia tidak akan memberi kesan.” – AFP