
RIBUAN umat Islam memenuhi Masjid Putra baru-baru ini untuk menunaikan Solat Sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Dr Muhamad Zakuwa Rodzali. Foto BERNAMA

KETAATAN kepada Allah SWT bukanlah sesuatu yang membebankan tetapi ia merupakan sumber dan punca kebahagiaan dan kenikmatan sejati.
Ketika kita melaksanakan perintah-Nya dengan ikhlas, hati akan merasakan ketenangan dan kepuasan yang tidak dapat diganti oleh ketenangan duniawi.
Untuk mencapai kenikmatan dalam ketaatan hendaklah dapat dirasai terlebih dahulu melalui sejauh mana kita mendekatkan diri kepada Allah SWT yakni cinta yang mendalam dalam beribadah, keyakinan tentang halu tuju hidup ini, keikhlasan kita menerima penentuan Allah SWT, usaha pemantapan iman, kepedulian sesama insan lain perihal kebajikan, keadilan dalam setiap usaha dan kejujuran hati kita dalam menerima setiap kewajipan beragama.
Cinta Mendalam Dalam Beribadah
Ungkapan ‘Cinta mendalam dalam beribadah’ sangat indah. Ia menggambarkan hubungan yang penuh kasih sayang dan bukan sekadar kewajipan dalam menjalankan ibadah kepada Allah SWT.
Pegangan ini boleh menjadi falsafah hidup, tema dakwah, bahkan asas dalam budaya kerja dan usaha kita.
Dalam erti kata lain, ibadah dilakukan bukan kerana terpaksa, tetapi kerana cinta yang tulus akan kewajipan agama.
Kita mengutamakan kualiti ibadah, bukan sekadar kuantiti. Menjadikan setiap aspek kehidupan sebagai bentuk ibadah baik dalam hal pekerjaan, perkhidmatan, sedekah dan sebagainya.
Rasa cinta kepada peritah Allah SWT membentuk disiplin, keikhlasan dan istiqamah kerana kita faham arah tujuan hidup kita yang jelas.
Arah Tujuan Hidup Yang Jelas
Sebagai insan kita perlu mengenali dan memahami arah tujuan kehidupan kita. Ia menjadi asas kepada visi hidup kita bahkan sebagai transformasi diri.
Melalui arah tujuan hidup yang jelas memberi gambaran kepada kita tentang hidup yang terarah, tidak kosong dan penuh dengan maknanya.
Kita akan tahu ‘kenapa’ kita hidup, bukan hanya ‘apa’ yang kita buat setiap hari sebagai perkara yang biasa atau hakikat hidup.
Hidup akan berpaksikan kepada nilai, prinsip dan misi yang memberi makna jangka panjang. Apa sahaja keputusan, perancangan dan tindakan kita ada tujuan berdasarkan matlamat akhir (akhirat dan dunia).
Jika kita mempunyai arah tujuan hidup yang jelas, kita tidak akan merasa hidup ini kosong, hilang arah atau hidup sekadar mengikut arus. Kita tahu ke mana jalan kita seterusnya dan sentiasa faham serta redha akan setiap penentuan Allah SWT.
Reda Setiap Penentuan-Nya
Ketika kita berserah diri dan menerima setiap penentuan Allah dengan reda, hati kita akan merasakan ketenangan yang mendalam. Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya, meskipun kadangkala kita tidak memahami hikmah di sebaliknya.
Persoalannya, mengapa harus kita reda? Allah Maha Bijaksana yang mana setiap takdir yang ditentukan-Nya pasti secara tersiratnya memberi kebaikan, baik yang kita sedari ataupun tidak.
Sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al-Baqarah: Ayat 216)
Dalam usaha merasai nikmat dalam ketaatan, menjadi kewajipan kita untuk sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Inilah tanda kita reda dalam bentuk tawakal dan keimanan tertinggi di mana kita benar-benar percaya pada perancangan-Nya.
Dengan reda, hati kita tidak akan gelisah terhadap apa yang terjadi kerana kita yakin bahawa semua sudah diatur oleh Yang Maha Kuasa.
Kita juga sentiasa memantapkan iman kita supaya dapat khusyuk dalam setiap amal ibadah untuk kekal taat.
Iman Sentiasa Dimantapkan Agar Terus Khusyuk Beribadah
Iman bukanlah sesuatu yang statik, tetapi ia perlu sentiasa dipupuk, diperkuat dan dijaga agar ibadah kita tetap khusyuk dan penuh makna.
Tanpa keimanan yang mantap, ibadah boleh menjadi rutin semata-mata, tanpa merasa roh pensyariatannya dan ketenangan dalam diri.
Iman yang kuat menjadikan solat, doa dan amal ibadah lain lebih bermakna, bukan sekadar gerakan atau bacaan tanpa penghayatan.
Firman Allah bermaksud : “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah Al-Mu’minun: Ayat 1-2)
Dunia penuh dengan gangguan (syaitan, hawa nafsu dan kesibukan dunia) yang boleh melemahkan iman.
Untuk mencapai nikmat dalam ketaatan kita adalah dengan memastikan iman kita sentiasa kukuh dan lebih mampu menghadapi apa jua ujian dengan tenang supaya kita sentiasa dipermudahkan untuk melebarkan amalan kebajikan kita.
Lebarkan Amalan Kebajikan Sebagai Langkah Kepedulian
Kebaikan melalui amalan kebajikan adalah usaha universal yang menyatukan hati, meringankan beban sesama dan menjadi bukti keindahan iman.
Rasulullah SAW bersabda yang hermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR. Ahmad).
Sebagai bukti kita mencapai nikmat dalam ketaatan adalah apabila kita sentiasa meluaskan amal kebajikan kita.
Kenapa kita perlu meneruskan amal kebajikan ini adalah untuk mendapat kasih sayang Allah SWT sepertimana firman Allah yang bermaksud: “Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik, niscaya orang yang ada rasa permusuhan antara kamu dan dia akan seperti teman yang setia.” (Surah Fussilat: Ayat 34).
Selain itu, amal kebajikan menguatkan ukhuwah di mana ia dapat menghilangkan jurang sosial dan mengukuh persaudaraan.
Amalan ini juga mendatangkan keberkatan di mana Allah melipatgandakan pahala kebaikan dan membuka pintu rezeki yang tidak terduga.
Menyemai amalan kebajikan dalam kehidupan seharian membuat kita berlaku adil sesama insan kerana merasai nikmat dalam ketaatan tersebut.
Adil Dalam Setiap Usaha Dengan Kebijaksanaan
Keadilan adalah asas kehidupan yang kukuh, baik dalam urusan dunia mahupun akhirat. Allah SWT memerintahkan kita untuk selalu berlaku adil seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu ……” (Surah An-Nisa: Ayat 135 ).
Dalam kita melakukan keadilan, ia harus disertai dengan kebijaksanaan. Ini kerana keadilan yang kaku tanpa pertimbangan hati boleh menimbulkan banyak kelemahan.
Dengan berbekal kebijaksanaan dalam diri, adil kita itu lazimnya akan dilengkapi oleh kasih sayang kerana hati kita jujur ikhlas menerima setiap penentuan-Nya sebagai langkah kepatuhan.
Hati Jujur Ikhlas Menerima Sebagai Langkah Kepatuhan
Kepatuhan sejati bukan sekadar gerakan lahiriah, tetapi bermula dari kejujuran hati dan keikhlasan yang mendalam.
Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.”
Persoalannya, mengapa hati yang jujur dan ikhlas penting dalam kepatuhan kita? Jawapannya, Allah SWT melihat niat dan bukan hanya perbuatan kita. Rasulullah SAW bersabda sepertimana bermaksud: “Sesungguhnya amal itu tergantung niatnya, dan setiap orang akan mendapat sesuai apa yang diniatkan.” (HR. Bukhari-Muslim)
Kita tidak mahu indah di luar tetapi sesuatu amal ibadah itu tidak berbuah pahala. Kita hendaklah taat akan perintah Allah dan bukan kerana hendak dipuji.
Lebih baik amal kita sedikit tetapi ikhlas, daripada banyak tetapi hati lalai melakukan sesuatu kerana Allah SWT.
Ketika dipuji, adakah hati kita menjadi bangga atau mengembalikannya kepada Allah SWT? Dalam keadaan apabila kita beramal dan tidak ada yang melihat, adakah kita tetap bersemangat beribadah?
Sebagai jawapan kepada semua persoalan kita, dengan izin-Nya jua berbekal dengan niat serta hati yang ikhlas, setiap kepatuhan kita akan dapat membentuk nikmat dalam sesuatu ketaatan itu.
Wallahu Alam Bissawab