SARATOK, 18 Oktober: Penduduk di Daerah Saratok diseru supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap ancaman wabak denggi dengan menjadikan kebersihan persekitaran sebagai amalan harian bagi menghalang pembiakan nyamuk Aedes.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata usaha membendung penularan denggi memerlukan komitmen berterusan daripada setiap lapisan masyarakat, bukan hanya bergantung kepada tindakan pihak berkuasa.
Menurutnya, orang ramai perlu mengambil langkah pencegahan dengan memeriksa kawasan di sekeliling rumah setiap hari bagi mengenal pasti lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Beliau berkata, air yang bertakung hendaklah dibuang segera, bekas simpanan air ditutup dengan sempurna dan kawasan kediaman sentiasa dipastikan bersih bagi mengurangkan risiko pembiakan nyamuk pembawa denggi.
“Saya menyeru penduduk di Daerah Saratok agar sentiasa prihatin terhadap wabak denggi ini. Antara perkara yang perlu kita ambil perhatian ialah memeriksa kawasan sekeliling rumah setiap hari, membuang air bertakung, menutup bekas simpanan air dan memastikan persekitaran sentiasa bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian bersempena penganjuran Program Gotong-Royong Membanteras Wabak Denggi di Daerah Saratok yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan denggi.
Sementara itu, Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad, mewakili Mohamad Duri menghadiri majlis simbolik program gotong-royong berkenaan yang berlangsung semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid, bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Pagan, Saratok.
Mebgulas lanjut Mohamad Duri menjelaskan, kempen seumpama itu turut menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan komuniti dalam menjaga kebersihan persekitaran serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes secara bersama.
Beliau turut menggesa masyarakat supaya mengamalkan konsep ‘Cari dan Musnah’ secara berterusan dengan mengenal pasti dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, khususnya di kawasan rumah, longkang, bekas terbiar dan lokasi yang boleh menakung air.
“Saya berharap masyarakat dapat menjadikan kebersihan persekitaran sebagai tanggungjawab bersama demi membendung penularan wabak denggi,” katanya.
Program itu diharapkan dapat memperkukuh kerjasama antara kerajaan dengan masyarakat dalam melaksanakan langkah pencegahan denggi, selain menyemai budaya hidup bersih dan sihat dalam kalangan penduduk setempat.
Turut hadir ialah Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), kakitangan Pejabat Daerah Saratok serta komuniti setempat yang bersama-sama menyokong usaha membanteras wabak denggi di daerah berkenaan.
Oleh Adi Safarman




