ROMPIN: Pemeriksaan bagi mencari dadah di sebuah rumah membawa kepada penemuan selaras senapang patah buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk berburu secara haram.
Ketua Polis Daerah Rompin DSP Azari Miskon berkata, senapang itu ditemui di rumah yang terletak di Bukit Serok di sini jam 6.30 pagi Sabtu lalu, dipercayai milik seorang lelaki Orang Asli berusia 27 tahun.
“Kita membuat serbuan di rumah itu untuk mencari jika terdapat dadah di situ selepas rakan serumah Orang Asli itu ditahan kerana memiliki tiga bungkus dadah jenis heroin dan syabu dalam kereta pada pemeriksaan berhampiran kawasan perumahan tersebut.
“Lelaki Orang Asli yang bekerja sebagai buruh itu mengaku tuan rumah dan berdasarkan siasatan awal, dia dipercayai membuat sendiri senapang patah itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin di sini semalam.
Azari berkata, suspek yang positif amphetamine kini direman bermula Sabtu hingga Jumaat ini, untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Rakan serumahnya yang berusia 34 tahun dan tidak bekerja juga direman bagi tempoh yang sama untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori.
Dalam perkembangan lain, Azari berkata polis juga menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah ini dalam tempoh tiga hari bermula 1 Mei lepas.
Pasangan suami isteri berusia 32 dan 40 tahun itu ditahan di rumah mereka di Taman Selancar di sini pada Ahad, manakala dua lagi suspek lelaki berusia 28 dan 42 tahun ditahan pada Jumaat oleh pasukan polis yang melakukan tugasan pemantauan Op Covid-19.
“Semua suspek yang juga positif dadah dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran sekitar daerah ini khususnya di kawasan tanah rancangan sejak beberapa bulan lalu dengan bekalan diperoleh dari Johor,” katanya.
Azari berkata, semua heroin yang dirampas dianggarkan seberat 797.08 gram manakala syabu seberat 386.92 gram bernilai RM97,892 boleh dibekalkan kepada 854 penagih dan semua suspek direman hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952.
Selain itu, polis juga merampas dua buah motosikal milik dua suspek lelaki itu dan wang berjumlah RM18,542.18 daripada akaun bank semua suspek menjadikan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM128,434.18. – BERNAMA