
SELANGAU: Penduduk Rumah Panjang Tr Ginda Badin, Ulu Dijih, Tamin kini menikmati capaian internet yang lebih baik, membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar di kawasan tersebut.
Kemudahan itu terhasil menerusi kerjasama erat antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang dan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, yang komited memperjuangkan hak serta keperluan asas penduduk luar bandar termasuk dalam aspek pembangunan digital.
Menurut Ginda, kewujudan perkhidmatan internet amat dinantikan, terutama oleh golongan belia dan pelajar yang memerlukan akses kepada pembelajaran dalam talian dan maklumat semasa.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada kedua-dua YB atas keprihatinan mereka. Ini satu pencapaian besar untuk komuniti kami,” katanya.
Tambah beliau, kemudahan tersebut bukan sahaja membantu dalam urusan harian seperti pembayaran bil dan pendaftaran atas talian, malah memudahkan komunikasi serta akses kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.
Usaha membawa internet ke kawasan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pemodenan negara.
Pembangunan ini juga dianggap sebagai titik permulaan kepada transformasi digital yang lebih menyeluruh di kawasan pedalaman Sarawak.
Oleh Tarani Lanting