TANGGAL 1 Julai 1946 satu sejarah tercipta apabila Sarawak diserahkan kepada British oleh Raja Vyner Brooke. Penyerahan ini disahkan oleh satu pengundian yang kontroversi dalam Council Negeri.
Penyerahan ini membawa kepada taraf Sarawak berubah dari sebuah negara naungan British kepada tanah jajahan.
Hal ini membawa kepada bantahan besar-besaran penduduk Sarawak terutama dalam kalangan orang Melayu. Pelbagai usaha dilakukan oleh mereka untuk mencabar status penyerahan ini.
Namun British menggunakan pelbagai langkah untuk menyekat bantahan ini secara teratur termasuk memecahbelahkan penduduk Sarawak untuk melemahkan gerakan penyerahan tersebut.
TARAF NAUNGAN
Usaha bersungguh-sungguh British untuk menekan pihak yang menentang penyerahan membawa kepada persoalan iaitu mengapakah dan bilakah British menunjukkan minat untuk menguasai Sarawak.
Pada awalnya British berpendapat bahawa pengambilan Sarawak sebagai tanah jajahan akan menambah beban pentadbiranya. Hal ini boleh dilihat apabila James Brooke cuba memujuk kerajaan British untuk menyerah Sarawak tetapi kerajan British tidak berminat.
Tidak berminatnya British ketika itu untuk mengambil Sarawak sebagai tanah jajahan berbanding dengan negeri-negeri Melayu memberi satu tanggapan bahawa Sarawak tidak mempunyai sumbangan ekonomi dan kedududkan strategik penting.
Sebaliknya British menggunakan cara lebih murah menguasai Sarawak iaitu memberi taraf naungan kepada Sarawak. Perjanjian 1888 merupakan perjanjian yang membawa Sarawak termasuk Brunei dan Borneo Utara (Sabah).
Taraf naungan Sarawak ini berterusan sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua. Naungan ini hanya membolehkan British menguasai hubungan luar dan ketenteraan untuk Sarawak.
MASALAH SARAWAK
Menjelang abad ke-20, British mula menunjukkan minatnya kepada Sarawak. Mereka melihat pemerintahan Brooke telah ketinggalan zaman. Dalam Laporan Breen menjelaskan bahawa sistem pentadbiran Brooke masih lagi tahap yang asas dan sistem kewangannya pula tidak berkembang.
Ada juga rugutan mengenai tahap kesihatan awam di Sarawak pada tahap rendah. Oleh itu ada cadangan dari pihak British untuk menempatkan kakitangan di Tanah Melayu ke Sarawak.
Ketika itu juga Raja Vyner Brooke dan Ranee Sylvia mempunyai hasrat untuk menjual Sarawak kepada British. Hal ini berlaku pada 1938 dan ketika itu adik beliau iaitu Betram Brooke tidak dapat lagi membantu raja dalam urusan Sarawak kerana masalah kesihatannya.
Raja Vyner Brooke pernah menyampaikan hasrat untuk menjual Sarawak kepada kerajaan British menerusi bekas setiausaha sulit Lord Esher iaitu L. F. Burgis. Beliau menyampaikan hasrat ini kepada kerajaan dengan menyatakan masalah Vyner Brooke dan memerlukan penyelesaian dalam peruntukan kewangan.
Sebanyak £5,000,000 dinyatakan dalam perbincangan tersebut.
Edward Gent wakil kerajaan British menyatakan bahawa kerajaan British tidak mempunyai hasrat untuk mengambil Sarawak.
Perbincangan mengenai perkara ini diteruskan dengan satu pertemuan makan malam antara Rajah Vyner Brooke, Burgis dan Gent. Namun demikian saat akhir Raja Vyner Brooke menyatakan dia tidak dapat menghadiri makan malam tersebut. Tindakan Raja Vyner Brooke ini mengecewakan Gent.
PENASIHAT BRITISH
Walaupun hasrat untuk menyerahkan Sarawak kepada British tidak kesampaian pada waktu itu tetapi British mempunyai niat untuk mendapat akses dalam hal ehwal dalaman Sarawak. Hasrat ini menjadi lebih dekad apabila pada Mac 1939 berlaku peletakan jawatan lima pegawai kanan Sarawak.
Gabenor Negeri Selat iaitu Sir Shenton Thomas telah berbincang mengenai pentadbiran Sarawak dengan Anthony Brooke. Sir Shenton Thomas berkata bahawa perlunya usaha untuk menjaga kepentingan penduduk tempatan dan soal pertahanan di Sarawak.
Dalam hal ini beliau menjelaskan bahawa perlunya pertukaran kakitangan perkhidmatan Sarawak dengan perkhidmatan kolonial, dilakukan. Beliau menambah bahawa Ketua Setiausaha, Setiausaha Kewangan, Ketua Keadilan, dan penasihat undang-undang pada masa-masa tertentu boleh diisi oleh pegawai yang dicadangkan daripada Perkhidmatan Kolonial.
Cadangan lebih utama daripada Sir Shenton Thomas ini ialah penasihat umum harus dilantik untuk kerajaan Sarawak. Dalam hal ini beliau mencadangkan agar bekas penasihat umum kepada kerajaan Johor iaitu W. E. Pepys dilantik. Pepys dianggap orang paling sesuai kerana pengalamannya dalam pentadbiran amat berguna kepada Sarawak.
RAGU-RAGU
Anthony Brooke yang mendengar cadangan ini bersetuju dengan idea pelantikan penasihat umum ini tetapi agak sangsi mengenai kuasa yang akan diberi kepada Pepys ini. Anthony Brooke menambah beliau amat gembira jika Pepys boleh membantu dalam soal pertahanan.
Padangan Anthony Brooke tidak mendapat sokongan daripada Setiausaha Hal Ehwal Bumiputera, Andrew MacPherson.
Beliau merasakan perlunya seseorang yang memahami dan menyatakan taat setia kepada Sarawak boleh berkhidmat di Sarawak. Kata-kata beliau ini menunjukkan beliau tidak begitu suka kepada cadangan untuk melantik penasihat umum ini.
RAJA SETUJU
Walaupun cadangan pelantikan penasihat umum ini tidak disenangi pegawai kerajaan Sarawak tetapi Anthony dan Raja Vyner Brooke menyatakan sokongan kepada cadangan Sir Shenton ini. Namun masih ada lagi suara-suara yang tidak bersetuju dengan pelantikan ini di Sarawak. Mereka mahukan agar pelantikan itu bukan status pegawai tetapi hanya sebagai penasihat raja.
Raja Vyner Brooke menjelaskan bahawa pelantikan Pepsy sebagai penasihat umum ini tidak akan mengubah hubungan antara Sarawak dan Kerajaan British. Beliau menegaskan bahawa status Sarawak masih lagi sebagai negara naungan British. Beliau menambah bawa pelantikan itu penting untuk menasihat kerajaan Sarawak dalam membantu meningkatkan mutu pentadbiran kerajaan.
KEDATANGAN PENASIHAT
Pepys mengambil tugasnya sebagai penasihat pada awal 1940. Beliau menjalankan tugasnya dengan tekun dan menyertai Raja Vyner Brooke melawat kawasan pentadbiran kerajaan di luar bandar. Beliau melakukan tinjauan dalam pembangunan sosial di Sarawak terutama perkhidmatan kesihatan di luar bandar dan yang terpencil.
Pelantikan Pepys ini menjadi mata dan telinga British untuk mengetahui hal ehwal pentadbiran Raja Brooke di Sarawak. Malahan ia menyediakan banyak maklumat kepada Sir Shenton Thomas dan Pejabat Kolonial untuk merangka masa depan Sarawak.
Pelantikan penasihat umum ini merupakan bibit-bibit awal kerajaan British untuk campur tangan secara tidak langsung Sarawak.
Apabila Perang Dunia Kedua meletus, British meneruskan hasrat untuk menguasai Sarawak.
* Dr. Suffian Mansor adalah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)