KUCHING: Calon PKR mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Petra Jaya, Sopian Julaihi, jelas keliru dan tidak faham apa yang dikatakannya apabila mempertikai manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkaitan politik persekutuan.
Ketua Whip GPS, Dato Srio Fadillah Yusof berkata Sopian masih terlalu baru dalam politik menyebabkannya tidak memahami apabila mendakwa kononnya GPS hanya bertanding 31 kerusi, sedangkan PH bertanding di semua 222 kerusi Parlimen.
Menurut dakwaan Sopian, tujuan manifesto dilancarkan adalah untuk dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan, iaitu melibatkan Parlimen, sedangkan untuk membentuk sesebuah kerajaan di peringkat Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi tetapi GPS cuma tanding 31 kerusi.
Bagaimanapun kata Fadillah kedudukan GPS andai menang besar walaupun berbekal 31 kerusi, boleh mempengaruhi dasar di peringkat persekutuan.
“Kalau kita memilih PKR, ini bermakna kita (orang Sarawak) memberi mandat kepada PKR yang dipengaruhi di peringkat persekutuan oleh Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri.
“Jika memilih GPS, itu bukan ditentukan dasarnya tetapi diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan tetapi GPS yang mempengaruhi supaya itu menjadi dasar yang ‘friendly’ kepada Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita pada program FY Petang bersama Belia-Beliawanis Satok di Swee Kang Jalan Haji Taha di sini hari ini.
Fadillah yang mempertahankan kerusi Parlimen Petra Jaya dicabar Sopian dan Presiden Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR), Othman Abdillah.
Fadillah berkata masih ada yang tidak faham bahawa pembentukan Malaysia pada 1963 membabitkan tiga wilayah iaitu Tanah Melayu (Semenanjung), Sabah dan Sarawak.
“Jadi di Sarawak kita perjuangkan untuk sama rata dengan wilayah di Semenanjung Malaysia. Manifesto kita (GPS) untuk memperjuangkan hak Sarawak.
“Kalau kita (Sarawak) menang 31 kerusi di peringkat Parlimen, suara kita akan kuat didengari Putrajaya. Oleh itu, kita akan mempengaruhi apa saja dasar yang dibentuk di sana. Itu sebenar maksud manifesto kita (GPS)” katanya.
Oleh AZREEN KERIA