KUCHING: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 adalah campuran calon muda dan golongan berpengalaman termasuk wanita.
Mereka akan bertanding untuk 31 kerusi Parlimen, menggunakan logo GPS buat kali pertama dalam pilihan raya umum.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata GPS mahu menang kesemua kerusi Parlimen dengan membariskan calon berkualiti dan golongan muda.
“GPS pada hakikatnya tidak kurang pemimpin berkualiti untuk dihantar ke Parlimen. Saya sudah tua. Golongan pemudalah yang akan menyambung kepemimpinan negeri ini.
“Kita akan calonkan orang muda, wanita, malah yang berpengalaman untuk menjadi calon. Tua, muda, pertengahan usia, lelaki dan wanita GPS hantar ke Parlimen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda GPS di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini hari ini. Ia dihadiri lebih 2,000 ahli Pergerakan Pemuda GPS dari seluruh negeri.
GPS adalah gabungan empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bimiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Pada PRU-14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen (menang 13 kerusi),
SUPP (7) tapi cuma menang satu, PRS (6) menang tiga dan PDP (4) menang dua.
Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata bakal calon terutama golongan muda bersemangat berkobar-kobar dengan perjuangan ‘Sarawak First’ (Utamakan Sarawak).
“Pada PRU-15 kali ini, kita mahu menghantar mesej ke Parlimen bahawa rakyat Sarawak cintakan keamanan dan kestabilan. Malaysia hanya akan membangun, jika wujud kestabilan. Justeru, Sarawak mahu menyumbang kepada kestabilan politik negara,” katanya.
Sambil mengajak rakyat Sarawak supaya mengundi calon GPS pada PRU-15, beliau berkata, GPS tidak takut, tidak gentar untuk berhadapan lawan kerana mesej yang sebenarnya ialah GPS mahu mempertahankan hak Sarawak.
“Kita bukan calang-calang. Kalau dicabar kita akan lawan. Perjuangan GPS adalah demi rakyat dan negara yang stabil,” katanya.