CALON Barisan Nasional (BN) DUN N29 Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain ketika ditemui sempena Pilihan Raya Negeri Johor Ke-15 di kediamannya baru-baru ini. • Foto BERNAMA
KLUANG: Dua calon wanita diketengahkan Barisan Nasional (BN) bagi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Kluang bertekad merampas kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
BN mempertaruhkan seorang yang berpengalaman luas dalam arena politik bagi DUN Mahkota manakala bagi DUN Mengkibol parti itu mencalonkan seorang yang baru mula berjinak dalam bidang politik.
Bekas Ketua Wanita UMNO Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang bertanding untuk DUN Mahkota berkata sebagai anak jati Kluang, beliau lebih mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat, justeru ia memberi kelebihan kepadanya.
Bekas penyandang kerusi DUN Penawar itu juga berikrar akan melipatgandakan segala usaha sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada PRN Johor 12 Mac ini.
“Perkhidmatan saya di DUN Penawar akan saya gandakan di DUN Mahkota. Allahyarham ayahanda saya (Datuk Syed Zain Al Shahab) merupakan Ketua UMNO Bahagian Kluang yang pertama. Jadi, saya ingin teruskan legasi ayahanda saya di sini sekali gus menjaga menjaga nama baik arwah,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di kediamaanya di sini, semalam.
Sharifah akan berdepan saingan dari tiga calon lain di kerusi DUN Mahkota melibatkan Mohamad Nor Lingan daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Taqiuddin Cheman mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Mohamed Noor Suleiman daripada Parti Warisan (Warisan).
Calon BN berusia 61 tahun itu berkata wanita kini memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam politik tanah air dan dengan nada berseloroh berkata slogan ‘ladies first’ mungkin boleh diguna pakai dalam perebutan kerusi DUN Mahkota.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Mahkota dimenangi oleh PH dari Amanah, Muhamad Said Jonit dengan undian sebanyak 19,507 mengalahkan calon BN Datuk Md Jais Sarday dan PAS, Muhammad Hasbullah Md Najib.
Tahun lepas, Muhamad Said mengumumkan beliau meninggalkan Amanah dan menyertai PKR.
Sementara itu, calon paling muda pada PRN Johor, Kelly Chye Pei Yee berdepan tugas berat untuk merampas kerusi DUN Mengkibol yang sejak beberapa penggal disandang oleh DAP dan PH.
Calon muda BN yang baru berusia 26 tahun itu berkata, beliau mampu meraih keyakinan dan kepercayaan pengundi muda yang akan mengundi buat pertama kali dan berazam membawa suara anak muda ke peringkat negeri.
“Saya mempunyai jentera kuat daripada MCA dan BN. Mereka sentiasa membimbing saya kerana saya adalah orang baharu di sini (politik). Saya juga telah mendengar beberapa masalah orang di sini seperti isu kerosakan bangunan di Pasar Awam Kluang,” katanya.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Multimedia (MMU), Kelly berkata beliau akan membentangkan manifesto khas untuk masyarakat Kluang terutamanya DUN Mengkibol dalam beberapa hari lagi.
DUN Mengkibol menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Kelly dengan penyandang kerusi berkenaan Chew Chong Sin (PH) dan Wong Chan Giap (PN).
Sementara itu, calon PN bagi DUN Mahkota Mohamad Nor pula berkata pengalaman sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dari 2001 hingga 2022 memberi kelebihan pada dirinya untuk memahami denyut nadi masyarakat bandar itu.
Malah, Pengerusi Penyelaras DUN Mahkota berusia 45 tahun itu berkata, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan ketika pemerintahan PN seperti bantuan bakul makanan dan moratorium semasa pandemik Covid-19 adalah bukti gabungan parti politik itu prihatin terhadap rakyat.
“Itulah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) atau kad laporan kita (PN). Hubungan saya dengan jabatan kerajaan pun tiada masalah. Banyak perubahan yang saya telah lakukan ketika menjadi Ahli MPK tetapi ia agak terbatas, kalau jadi ADUN lagi banyak saya boleh berkhidmat kepada masyarakat setempat,” katanya. – Bernama