PEKAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain mengundi di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 dekat sini semalam bagi menunaikan tanggungjawab beliau dalam PRK itu.
Mohd Sharim, 41, dan isterinya Norhiliyana Abd Hamid, 27, mengundi pada jam 9.15 pagi semalam.
Pasangan suami isteri itu yang sedondon berbaju Melayu dan baju kurung warna hijau, tiba di perkarangan KAFA itu pada jam 9.10 pagi dengan diiringi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan.
Bercakap kepada pemberita selepas selesai mengundi, Sharim berharap pengundi di DUN itu dapat keluar menunaikan tanggungjawab mereka, walaupun mungkin berdepan dengan sedikit perbezaan kerana kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi, ekoran pandemik wabak Covid-19.
“Alhamdulillah, seperti tidak percaya sudah selamat mengharungi tempoh berkempen dua minggu. Kini saya berserah kepada ketentuan Allah dan doakan yang baik-baik sahaja,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mohd Sharim berkata, beliau akan melawat beberapa pusat mengundi di sekitar DUN Chini selepas ini dan berharap proses pengundian semalam berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
PRK DUN Chini menyaksikan Mohd Sharim yang merupakan generasi kedua Felda ditentang dua calon Bebas, iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang juga penulis blog.
Tengku Zainul Hisham dan Mohd Shukri bukan pengundi berdaftar bagi DUN tersebut.
PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur. Abu Bakar mula bergelar wakil rakyat DUN Chini sejak 2004.
Pada PRU14 lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). – Bernama