PETRA JAYA: Calon bagi pengambilan Khas Guru Sarawak di bawah kontrak perkhidmatan (COS) bakal menerima surat tawaran lantikan akhir tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata keputusan pengambilan khas guru Sarawak itu adalah dibawah kuasa Kerajaan Pusat dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).
Namun, katanya, kerajaan Sarawak terus komited dalam memastikan calon-calon yang telah menghadiri temu duga yang lepas akan terima surat tawaran pada hujung tahun ini.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab saya berharap agar SPP dapat menunaikan permintaan negeri ini untuk melantik guru COS yang baharu sebelum sesi persekolahan bermula tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Baru-baru ini, dilaporkan bahawa lebih 1,700 calon yang disenarai pendek di bawah pemacu pengambilan guru khas untuk Sarawak, merangkumi 300 pemohon yang mempunyai kelayakan mengajar dari luar Sarawak.
Roland Sagah sebelum ini melahirkan rasa kecewa terhadap SPP kerana tidak menunaikan janji membenarkan 1,733 kekosongan yang ada di bawah pemacu pengambilan khas itu diisi oleh rakyat Sarawak.
Berikutan itu, kementeriannya sebelum ini telah menulis surat kepada SPP meminta pengambilan itu untuk rakyat Sarawak sahaja.
Difahamkan, lebih kurang 6,000 calon yang melepasi ujian psikometrik dipanggil untuk temu duga pada minggu kedua Oktober untuk temu duga secara bersemuka yang diadakan di tiga lokasi iaitu Kuching, Sibu dan Miri.
Berdasarkan sumber dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Sarawak dijangka menghadapi kekurangan seramai 2,373 guru di 30 daerah menjelang penghujung tahun ini.
Oleh Noor Ikmal