LOS ANGELES: Negeri California di Amerika Syarikat (AS) telah menarik balik susu mentah yang dihasilkan dan dibungkus oleh Valley Milk Simply Bottled, sebuah syarikat tenusu tempatan yang berpangkalan di Stanislaus County, berikutan pengesanan virus selesema burung.
Perintah penarikan balik itu dibuat selepas virus Influenza-A H5N1 (selesema burung) dikesan dalam sampel yang diambil daripada tangki pukal susu mentah di ladang tenusu Valley Milk Simply Bottled, menurut kenyataan Jabatan Makanan dan Pertanian California (CDFA), lapor Xinhua.
Perintah itu melibatkan semua produk “Valley Milk Simply Bottled Raw Cow Milk” dan “DESI Milk Raw Cow Milk” yang diedarkan dalam botol plastik bersaiz satu liter, setengah gelen dan satu gelen dengan tarikh kod tertera pada bekas dari 23 Disember 2024 hingga 30 Disember 2024.
CDFA menggesa pengguna agar tidak meminum produk yang masih terdapat dalam peti sejuk mereka. Setakat ini, tiada penyakit dilaporkan di negeri berkenaan.
Bulan lepas, California turut menarik balik susu mentah daripada Raw Farm, LLC di Fresno County kerana pengesanan virus selesema burung.
Meminum susu mentah yang mengandungi virus selesema burung boleh menyebabkan jangkitan virus selesema yang jarang berlaku ini.
Gejala jangkitan selesema burung pada manusia termasuk mata merah atau berair, batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, cirit-birit, muntah, sakit otot atau badan, sakit kepala, keletihan, kesukaran bernafas dan demam. – Bernama – Xinhua