Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Cahaya Jalur Gemilang hiasi bandar raya Kuching, tanda sokongan padu Sukan SEA 2027
  • Selatan
  • WILAYAH

Cahaya Jalur Gemilang hiasi bandar raya Kuching, tanda sokongan padu Sukan SEA 2027

Utusan Sarawak 5 hours ago
Pancaran cahaya Jalur Gemilang menghiasi, mewarnai dan mercu tanda ikonik sekitar bandaraya Kuching sebagai tanda sokongan padu terhadap penganjuran Sukan SEA 2027. Foto Dewan Bandaraya Kuching Utara

PETRA JAYA: Bandar raya Kuching ‘bermandi’ cahaya apabila beberapa bangunan dan mercu tanda ikonik dihiasi pancaran warna Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan dan semangat kesukanan sempena penganjuran Sukan SEA 2027.

Inisiatif itu dilaksanakan susulan penerimaan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) oleh Malaysia semasa Majlis Penutupan Sukan SEA Thailand 2025 yang berlangsung pada 20 Disember lalu di Stadium Rajamangala.

Di Kuching, pancaran cahaya Jalur Gemilang dapat disaksikan di beberapa lokasi utama termasuk bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Jambatan Satok, Jambatan Darul Hana serta Air Pancuran Berirama ‘Musical Fountain‘, sekali gus menceriakan landskap bandaraya pada waktu malam.

Pencahayaan berkenaan akan berlangsung selama seminggu sehingga sambutan Tahun Baharu 2026, melambangkan kesinambungan sokongan rakyat terhadap Malaysia selaku tuan rumah temasya sukan berprestij peringkat serantau itu.

Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen serta kesediaan Kuching sebagai lokasi Majlis Pembukaan Sukan SEA 2027, di samping menzahirkan kebanggaan warga bandaraya terhadap penganjuran temasya berkenaan.

“Usaha ini dijangka meningkatkan keterlihatan temasya di peringkat nasional, membangkitkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat serta memupuk rasa bangga terhadap peranan negeri sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pelaksanaan itu turut menyahut seruan kerajaan Sarawak serta Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia bagi menjayakan penganjuran temasya berkenaan, selain memupuk semangat kebersamaan, patriotisme dan sokongan padu seluruh lapisan masyarakat.

Selain Kuching, beberapa bandar utama lain termasuk Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang turut sama dihiasi pancaran warna Jalur Gemilang sebagai simbol sokongan terhadap Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2027.

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous:
Pemantauan MTL: Paras air kawasan Jalan Wharf kekal terkawal
Next: ADUN Kalaka utamakan kebajikan, pastikan tiada golongan terpinggir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.