Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Cadangan tambah kerusi DUN Sarawak wajar dipertimbangkan
  • SEMASA

Cadangan tambah kerusi DUN Sarawak wajar dipertimbangkan

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATO Sim Kiang Chiok menyokong cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri di Sarawak bagi memperkukuh perwakilan rakyat serta meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

KUCHING: Cadangan untuk menambah bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak serta mewujudkan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak disifatkan sebagai langkah wajar yang mencerminkan aspirasi rakyat di wilayah Borneo.

Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Stakan, Dato Sim Kiang Chiok berkata beliau menyambut baik dan menyokong cadangan tersebut kerana ia selaras dengan perubahan demografi, keluasan geografi Sarawak serta semangat pembentukan Persekutuan Malaysia.

Menurutnya, cadangan penambahan 17 kerusi DUN di Sarawak adalah tepat pada masanya, khususnya selepas pelaksanaan Undi 18 yang memperluaskan jumlah pengundi dan menggalakkan penyertaan lebih ramai golongan muda dalam proses demokrasi.

Beliau berkata keluasan Sarawak yang besar serta kewujudan banyak komuniti luar bandar dan pedalaman yang terletak di kawasan mencabar menimbulkan cabaran tersendiri kepada wakil rakyat dalam memberi perkhidmatan kepada penduduk.

“Dengan pertambahan kerusi, wakil rakyat dapat memberi tumpuan yang lebih khusus kepada kawasan masing-masing, bertindak lebih pantas terhadap isu setempat serta memastikan keperluan pembangunan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, langkah tersebut secara tidak langsung akan memperkukuh tadbir urus di peringkat akar umbi serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Sarawak.

Mengulas aspek perundangan, beliau berkata di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, semakan sempadan pilihan raya hanya boleh dilakukan selepas tempoh sekurang-kurangnya lapan tahun.

Beliau berkata kali terakhir persempadanan semula dilakukan di Sarawak pada 2015 apabila jumlah kerusi DUN meningkat daripada 71 kepada 82.

Sehubungan itu, katanya, inisiatif semasa adalah tepat pada masanya dan selaras dengan kerangka perlembagaan yang mengawal proses semakan kawasan pilihan raya.

Dalam masa sama, beliau turut menyokong cadangan supaya Sabah dan Sarawak secara kolektif memegang sekurang-kurangnya 33 peratus daripada jumlah kerusi di Parlimen Malaysia, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang mengiktiraf kedua-dua negeri sebagai rakan setara dalam pembentukan Malaysia.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia agar mempercepatkan proses persempadanan yang diperlukan supaya cadangan tersebut dapat dibentangkan dan diluluskan di Parlimen tanpa kelewatan demi kepentingan rakyat Sarawak serta negeri-negeri Borneo secara keseluruhan.

Continue Reading

Previous: Syarikat di Batu Kawa terima pembiayaan BERKAT pertama di Sarawak
Next: Vesel tangki bawa minyak tanpa lesen ditahan Maritim Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.