RYNNA SHA’ERRA
KUCHING: Cadangan struktur semula Mahkamah Bumiputera Sarawak akan dibawa ke Kabinet negeri dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai berkata, ia bertujuan memperluaskan kuasa mahkamah itu.
“Cadangan ini akan dimajukan ke Kabinet dalam masa terdekat,” pada majlis perasmian Bengkel Pengendalian Kes Mahkamah Bumiputera Sarawak bagi zon selatan di sini, hari ini.
Katanya, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu, beliau menyatakan bahawa kajian yang dijalankan oleh sebuah firma perunding tempatan pada masa itu hampir siap.
“Apabila kajian telah siap, saya memberitahu bahawa kerajaan akan mengkaji dan menggunakan penemuan dan cadangan oleh pihak perunding untuk menstruktur semula serta memperluas bidang kuasa mahkamah tersebut,” katanya.
Katanya, cadangan itu akan dibawa ke sidang DUN pada Mei tahun depan sebaik ia diluluskan oleh Kabinet negeri nanti.
Buat masa kini kata beliau, kertas Kabinet mengenai perkara itu sedang diperhalusi.
“Ini (kertas kabinet) adalah untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan.
“Ini akan melibatkan satu Rang Undang-Undang baharu untuk dibentangkan pada sidang DUN dan sekiranya diluluskan, Rang Undang-Undang Ordinan Mahkamah Bumiputera yang baharu ini akan menggantikan Ordinan Mahkamah Bumiputera 1992 yang ada sekarang,” katanya.