Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Cadangan status Bumiputera perlu diteliti
  • TEMPATAN

Cadangan status Bumiputera perlu diteliti

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATUK Snowdan Lawan bercakap kepada media pada sidang media Sarawak menjadi tuan rumah Persidangan Pemandu Pelancong Asia Tenggara di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya hari ini.

PETRA JAYA: Cadangan untuk memberikan status Bumiputera kepada generasi ketiga rakyat Sarawak berketurunan Cina wajar diperhalusi terlebih dahulu oleh pihak berkuasa berkaitan, khususnya Majlis Adat Istiadat Sarawak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, perkara tersebut melibatkan aspek perlembagaan dan tidak boleh diputuskan secara terburu-buru tanpa penelitian menyeluruh oleh badan yang bertanggungjawab.

Menurut beliau, sebarang keputusan perlu disandarkan kepada pertimbangan Majlis Adat Istiadat sama ada cadangan itu sesuai atau sebaliknya.

“Saya fikir perkara ini bergantung kepada Majlis Adat Istiadat. Biarlah mereka menilai sama ada ia satu cadangan yang baik atau tidak,” katanya ketika sidang media Sarawak menjadi tuan rumah Persidangan Pemandu Pelancong Asia Tenggara di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng, menerusi satu program audio siar (podcast) baru-baru ini.

Snowdan menjelaskan bahawa Sarawak ketika ini sudah mempunyai peruntukan tertentu berkaitan pengiktirafan status Bumiputera, khususnya melibatkan perkahwinan campur.

“Setakat ini, kita sudah ada keputusan. Contohnya, jika bapa merupakan Bumiputera Sarawak dan ibu bukan, maka anak tersebut secara automatik diiktiraf sebagai Bumiputera. Itu sudah termaktub dalam ordinan kita,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan cadangan melibatkan generasi ketiga ini merupakan satu perkara baharu yang memerlukan penelitian lebih mendalam.

“Ini mungkin sesuatu yang baharu, jadi pihak Adat Istiadat boleh melihat dan meneliti perkara ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Sarawak sentiasa menjaga dan mempertahankan hak masyarakat Bumiputera sebagai penduduk asal negeri ini.

“Tiada salah untuk membangkitkan isu generasi ketiga, tetapi di Sarawak kita sangat menjaga hak kita, khususnya Bumiputera kerana kita adalah penduduk asal,” katanya.

Tambah beliau, isu berkenaan juga perlu dilihat dari sudut perundangan yang lebih luas, termasuk melibatkan bidang kuasa negeri dan Persekutuan.

“Kadang-kadang perkara ini juga melibatkan Persekutuan. Ia boleh dibangkitkan, tetapi mesti berpandukan Perlembagaan Negeri Sarawak dan juga Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Beliau turut menekankan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang melindungi hak Sarawak perlu diambil kira dalam sebarang cadangan berkaitan status Bumiputera.

“Kita juga ada MA63 yang melindungi kita, jadi semua sudut ini perlu dilihat dengan teliti. Itu sangat penting,” katanya.

Terdahulu, Larry Sng menerusi program dalam talian The Tuak Talk mencadangkan agar kerajaan Sarawak mempertimbangkan pemberian status Bumiputera kepada generasi ketiga rakyat Sarawak berketurunan Cina.

Presiden Parti Bangsa Malaysia itu turut mendakwa tinjauan yang dijalankan selepas cadangan awalnya menunjukkan masyarakat Melayu dan Dayak tidak membantah sekiranya golongan bukan Bumiputera diberikan status serta keistimewaan yang sama.

Beliau berpendapat komuniti Cina boleh dipertimbangkan untuk status Bumiputera sekiranya mereka merupakan generasi ketiga di Sarawak, mengambil kira sumbangan besar mereka terhadap pembangunan dan ekonomi negeri.

Sng turut menyentuh bahawa selepas hampir lima dekad, anak hasil perkahwinan campur antara Bumiputera dan bukan Bumiputera kini dibenarkan menuntut status Bumiputera susulan penguatkuasaan Interpretation (Amendment) Ordinance 2022.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: JBPM Sarawak gesa hentikan pembakaran terbuka susulan lonjakan kes
Next: Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah adakan ziarah Aidilfitri ke kediaman wakil rakyat di Miri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.