Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Cadangan penubuhan jawatankuasa bipartisan cetus tanda tanya
  • TEMPATAN

Cadangan penubuhan jawatankuasa bipartisan cetus tanda tanya

Utusan Sarawak 2 months ago
JAWAB SOALAN… Dato Sri Fadillah Yusof bercakap kepada media selepas menghadiri majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Masjid Darul Sabirin, Kampung Empila malam tadi.

KOTA SAMARAHAN: Keikhlasan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dalam memperjuangkan hak minyak dan gas Sarawak dipersoalkan susulan cadangan daripada sayap pemuda parti itu untuk menubuhkan jawatankuasa bipartisan bagi mengukuhkan kedudukan negeri dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan. 

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menegaskan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah lama konsisten dalam memperjuangkan hak minyak dan gas Sarawak, sambil menyatakan bahawa usaha tersebut telah diperjuangkan secara berterusan oleh kerajaan negeri sejak sekian lama.

“Saya pun tak faham apa tujuan mereka (DAP), sama ada lebih kepada politik atau ada keikhlasan untuk berjuang sekarang. 

“Perjuangan ini di bawah GPS memang jelas dan konsisten dari dulu,” katanya ketika ditemui media selepas majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Masjid Darul Sabirin, Kampung Empila malam tadi. 

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Biro Pendidikan Politik Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Sarawak, Jordan Soo pada 19 Mac lalu. 

Soo mengumumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan memorandum kepada Pejabat Premier Sarawak bagi mencadangkan penubuhan jawatankuasa melibatkan pemimpin DAP dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menurut Soo, jawatankuasa itu bertujuan memperkukuh komunikasi antara pemimpin Sarawak dan kerajaan persekutuan mengenai isu-isu berkaitan autonomi minyak dan gas, selain mengusulkan beberapa langkah seperti perkongsian hasil melalui pegangan 30 peratus dalam Petroliam Nasional Berhad (Petronas) serta penyelarasan dasar undang-undang negeri dan persekutuan.

Namun, Fadillah menegaskan bahawa DAP lebih banyak mengkritik GPS daripada menunjukkan kesungguhan dalam memperjuangkan hak minyak dan gas negeri.

“Kalau mereka mengkritik, saya tak tahulah apa keikhlasan mereka,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa jika DAP benar-benar mahu membantu dalam isu ini, mereka seharusnya menyuarakan sokongan di Parlimen.

“Sokonglah di Parlimen. Berilah suara lebih kuat di Parlimen,” tegasnya.

Oleh Amanda L.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: 222 kontinjen ‘banjiri’ Kuching sempena perarakan ulang tahun Dewa Seng Ong
Next: Lebuhraya Pan Borneo: Sibuti antara kawasan terakhir dalam pembinaan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.