Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Cadangan penggunaan dana jaminan khas pulih projek sakit dikemukakan kepada MOF
  • NASIONAL

Cadangan penggunaan dana jaminan khas pulih projek sakit dikemukakan kepada MOF

Utusan Sarawak 2 years ago
TIMBALAN Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Cadangan berkaitan penggunaan dana jaminan khas bagi memulihkan projek terbengkalai yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini, akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, antara cadangan itu adalah menggunakan dana berkenaan bagi projek perumahan mampu milik bawah RM300,000 dan bagi projek yang sudah melepasi sekurang-kurangnya 80 peratus status kemajuan.

“Selain itu kita juga melihat kepada program perumahan di bawah agensi kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa negeri khususnya projek perumahan mampu milik yang berdepan risiko menjadi projek sakit,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berhubung kaedah yang dilaksanakan kerajaan bagi menyelesaikan isu projek perumahan diklasifikasikan sebagai projek sakit atau terbengkalai.

Menjawab soalan asal Zahir berhubung Akaun Pembangunan Perumahan (HDA) bagi projek perumahan, Akmal Nasrullah mendedahkan setakat ini Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membekukan 20 akaun HDA bagi projek dalam kategori sakit.

Beliau berkata, tindakan pembekuan itu adalah berdasarkan siasatan yang menunjukkan pemaju mengabaikan tanggungjawab dan boleh menjejaskan kepentingan pembeli.

“Selain itu, pemaju juga boleh dikompaun sehingga maksimum RM50,000 sekiranya gagal melaksanakan kewajipan sebagaimana peruntukan di dalam Akta 118 (Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 ) dan peraturan-peraturannya.

“Sebanyak 284 kompaun juga telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah seksyen 7 (e) Akta 118 pada tahun 2022 dan 2023.

Menurut Akmal Nasrullah, KPKT, menerusi Jabatan Perumahan Negara (JPN), sentiasa memastikan pemaju perumahan berlesen patuh terhadap peruntukan berkaitan HDA, antaranya  menjalankan audit pengurusan HDA, pemantauan Laporan Kemajuan Kewangan pemaju perumahan dan menyekat permohonan pengeluaran wang daripada HDA sekiranya tidak mematuhi Akta 118 dan peraturan.

Zahir ingin tahu bagaimana HDA dapat mengawal masalah projek perumahan sakit dan terbengkalai serta kepatuhan atau keingkaran penggunaan akaun HDA dalam kalangan pemaju. – Bernama

Continue Reading

Previous: PLKN 3.0 teras lahir pewaris negara kaya nilai perpaduan, insaniah – Pakar
Next: Tiada keperluan laksana dasar tamatkan hayat kenderaan lama – Loke

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.