
DEBAK: Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam mencadangkan pembinaan sebuah dewan berbumbung di Sekolah Kebangsaan (SK) Dit bagi menyediakan ruang lebih selesa untuk pelaksanaan aktiviti sekolah dan program murid.
Beliau berkata kemudahan tersebut penting memandangkan SK Dit kerap melaksanakan aktiviti berkaitan kurikulum, kokurikulum dan keagamaan yang memerlukan ruang terlindung serta kondusif untuk murid dan warga sekolah.
“Saya telah mengemukakan cadangan pembinaan sebuah dewan berbumbung demi memastikan setiap program sekolah dapat dijalankan dengan lebih teratur dan selesa.
“Kemudahan ini bukan sahaja bermanfaat kepada pihak sekolah, malah kepada masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan Majlis Khatam al-Quran peringkat SK Dit, di sini hari ini.
Menurut Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memberi kebenaran untuk menyediakan peruntukan bagi membantu sekolah-sekolah di negeri ini melaksanakan projek pembangunan fizikal yang diperlukan.
Beliau turut memaklumkan bahawa satu permohonan tambahan telah dikemukakan, iaitu cadangan pembinaan tapak sekolah baharu untuk SK Dit bagi memenuhi keperluan jangka panjang serta pertambahan murid pada masa hadapan.
Pada majlis yang sama, seramai 12 murid SK Dit diraikan selepas berjaya menamatkan pembelajaran al-Quran melalui Majlis Khatam al-Quran sekolah tersebut yang berlangsung penuh meriah.
Hadir sama, Pembantu Tadbir Menguasa Daerah Kecil Debak, Mohd Khairurani Mohd Ibrahim; Guru Besar SK Dit, Aisah Mohd Yusof; Ketua Kaum serta Ketua Masyarakat Melayu Daerah Kecil Debak; dan pemimpin setempat Kampung Dit.
Oleh Adi Safarman