KUCHING: Cadangan penambahan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, N.16 Tabuan Jaya di bawah Parlimen P.195 Bandar Kuching mula dipamerkan kepada orang awam hari ini bagi membolehkan masyarakat meneliti serta mengemukakan pandangan terhadap cadangan persempadanan berkenaan.
Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, paparan itu merupakan sebahagian daripada proses yang perlu dilalui bagi membolehkan orang awam melihat secara terbuka cadangan kawasan baharu berkenaan.
Menurutnya, P.195 Bandar Kuching ketika ini melibatkan tiga kawasan DUN iaitu N.13 Padungan, N.14 Pending dan N.15 Batu Lintang, manakala N.16 Tabuan Jaya dicadangkan sebagai kerusi baharu.

“Jadi, sebelum ini kita mempunyai tiga kawasan iaitu Padungan, Pending dan Batu Lintang. Sekarang ada satu lagi kawasan baharu iaitu Tabuan Jaya.
“Kesemuanya menjadikan empat kawasan di bawah P.195,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran paparan cadangan nama dan lokasi kerusi negeri baharu di Ibu Pejabat MBKS, di sini, hari ini.
Wee berkata, paparan berkenaan dibuka kepada orang awam selama 30 hari bagi membolehkan mereka melihat cadangan persempadanan serta mengemukakan pandangan atau bantahan.
Katanya, orang ramai turut boleh menggunakan kod QR yang disediakan untuk mengemukakan pandangan masing-masing sepanjang tempoh paparan tersebut.

GAMBAR menunjukkan sempadan daerah mengundi dalam bahagian Pilihan Raya Persekutuan P.195 Bandar Kuching.
“Ini adalah satu proses yang perlu kita lalui dan kita menggalakkan orang awam datang melihat serta memberikan pandangan mereka.
“Apa juga komen yang diterima, kita masih belum tahu, tetapi paparan ini disediakan supaya semuanya telus,” katanya.
Beliau berkata, menerusi paparan itu, masyarakat juga dapat melihat kawasan pengundi serta cadangan pembentukan kawasan DUN baharu berkenaan.
Berdasarkan notis Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertarikh 26 Ogos 2026, cadangan syor kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya dipamerkan untuk pemeriksaan awam mulai 1 hingga 30 September ini pada waktu pejabat.
Bagi P.195 Bandar Kuching, paparan berkenaan ditempatkan di Ibu Pejabat MBKS bagi membolehkan orang ramai membuat pemeriksaan sepanjang tempoh ditetapkan.
Cadangan N.16 Tabuan Jaya merupakan sebahagian daripada penambahan 17 kerusi DUN baharu Sarawak yang akan meningkatkan jumlah keseluruhan kerusi negeri daripada 82 kepada 99 kerusi.
Terdahulu, Sidang Khas DUN Sarawak pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan 17 kerusi baharu, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak daripada 82 kepada 99.
Oleh Shikin Mahmud




