
PETALING JAYA: Selepas lebih sedekad, cadangan menjenamakan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebagai Universiti P. Ramlee (UPR) kembali menjadi perbincangan dalam kalangan penggiat seni, seiring usaha memacu industri kreatif dan kebudayaan negara.
Bagaimanapun hingga kini, gagasan yang pernah disuarakan sekitar 2015 itu masih belum direalisasikan walaupun matlamatnya jelas, iaitu mengangkat legasi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ke peringkat institusi serta mengekalkannya sebagai rujukan utama dalam landskap seni tanah air.
Bagi pencinta seni, penjenamaan institusi tertinggi seni negara dengan nama Seniman Agung itu bukan sekadar simbol penghormatan, akan tetapi turut dilihat sebagai usaha membina ekosistem pendidikan yang mampu melahirkan generasi karyawan berteraskan identiti tempatan, khususnya dalam mendepani cabaran era digital.
Pengerusi Kelab Peminat P. Ramlee Lembah Klang, Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh berkata, sudah tiba masanya cadangan yang sekian lama terbiar sepi itu diterjemahkan kepada realiti tanpa berlengah lagi.

“Banyak universiti ternama di luar negara menggunakan nama tokoh sebagai simbol pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam bidang tertentu seperti Universiti Monash di Australia dan Universitas Gadjah Mada di Indonesia.
“Mungkin sudah sampai masanya kita mempertimbangkan nama seniman agung sebagai sebahagian pengiktirafan terhadap sumbangan seni kepada negara. Ini bukan soal individu semata-mata, tetapi memastikan legasi itu terus dikenang,” katanya kepada Bernama selepas Mesyuarat Agung Pertama Kelab Peminat P. Ramlee Lembah Klang bagi tempoh 2026–2028, di sini baru-baru ini.
Hasrat menjadikan ASWARA sebagai UPR atau Akademi Seni P. Ramlee telah lama dibangkitkan dan mula mendapat perhatian umum sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan menjadi manifesto Barisan Nasional ketika itu.
Namun, usaha menaik taraf itu tidak dapat direalisasikan susulan pertukaran kerajaan. Sehubungan itu, Wan Hashim berkata usaha menghidupkan semula gagasan berkenaan akan dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk perbincangan lanjut.
Beliau berkata perkara itu akan digerakkan melalui kepimpinan Kelab Peminat P. Ramlee peringkat kebangsaan yang diketuai Presidennya Tan Sri Dr Yusoff Latif dalam masa terdekat bagi mendapatkan perhatian kerajaan terhadap kepentingan merealisasikan usaha berkenaan.
Dalam pada itu, Wan Hashim berkata Kelab Peminat P. Ramlee Lembah Klang yang ditubuhkan tahun lepas bertujuan memastikan legasi Allahyarham terus diperkasa sebagai bahan wacana, kajian dan rujukan generasi baharu.
Beliau berkata penubuhan kelab itu juga bermatlamat mengekalkan momentum penghargaan terhadap sumbangan Seniman Agung yang disifatkannya luar biasa dan sukar ditandingi di peringkat tempatan ataupun antarabangsa.
“Beliau satu-satunya tokoh yang benar-benar serba boleh dalam bidang seni merangkumi nyanyian, lakonan, pengarahan, penulisan skrip serta penciptaan dan permainan muzik. Lima bidang sekali gus. Malah di Hollywood atau Bollywood pun sukar mencari tokoh sepertinya, menjadikan beliau genius seni yang tiada galang ganti,” katanya.
Menurutnya, kelab itu akan bergerak seiring dengan Kelab Peminat P. Ramlee peringkat kebangsaan serta bekerjasama dengan agensi seperti Arkib Negara Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia bagi melestarikan legasi seniman berkenaan.
Selain itu, kelab tersebut turut menjalin kerjasama strategik dengan Pustaka Peringatan P. Ramlee, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Kebangsaan Malaysia bagi memperluas wacana dan penyelidikan berkaitan karya serta pemikiran Allahyarham.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi kelab berkenaan Dr Baharudin Ali Masrom Al Haj berkata penubuhan kelab itu bukan sekadar menghimpunkan peminat, sebaliknya bertujuan merakyatkan semula pemikiran dan mesej dalam karya P. Ramlee agar terus difahami serta dihayati generasi muda.

“Filem Musang Berjanggut misalnya bukan sekadar komedi, tetapi menyindir golongan penunggang agama serta mengangkat keadilan sosial. Mesej seperti ini masih relevan dalam masyarakat hari ini.
“Kita mahu generasi muda melihat P. Ramlee bukan sekadar tokoh nostalgia, tetapi ikon seni yang membentuk identiti budaya negara,” katanya.
Dengan kira-kira 30 ahli berusia antara 35 hingga 76 tahun, kelab itu turut merancang menganjurkan pelbagai program di universiti dan sekolah termasuk teater pendek, nyanyian, kuiz, karikatur serta forum ilmiah berasaskan karya Allahyarham.
– Bernama