
KUCHING: Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menempatkan dua guru dalam satu bilik darjah bagi mengajar Bahasa Inggeris, Sains dan Muzik secara serentak disifatkan sebagai tergesa-gesa dan tidak praktikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang berkata, cadangan tersebut seharusnya melalui perancangan teliti, termasuk ujian rintis di sekolah terpilih, sebelum diperluas ke seluruh negara.
Menurutnya, pelaksanaan tanpa penilaian awal hanya akan menyebabkan pembaziran dana awam serta menimbulkan kekeliruan dalam kalangan guru dan pelajar.
“Jika model ini tidak berkesan, ia perlu dihentikan segera sebelum lebih banyak sumber dibazirkan dan sistem sedia ada terjejas,” katanya.

Beliau menegaskan, Sarawak kekal mengambil pendekatan berasaskan konteks tempatan dalam melaksanakan dasar pendidikan negeri.
“Ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan, Sarawak tidak sekadar mengikut keputusan Persekutuan. Kita memperkenalkan Ujian Penilaian Program Dwibahasa Tahun Enam sebagai alternatif yang lebih sesuai dengan keperluan negeri,” ujarnya.
Dato Lo turut menekankan bahawa Sarawak di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meletakkan asas kukuh dalam memperkasakan pendidikan dengan mengekalkan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kerja rasmi.
“Sarawak jelas dan konsisten Bahasa Inggeris bukan ancaman budaya tetapi alat penting untuk kemajuan sains, teknologi, pelaburan dan inovasi,” katanya.
Beliau menambah, cadangan menggabungkan dua kelas untuk diajar oleh dua guru bagi tiga subjek hanya akan menambah beban kerja guru, meningkatkan saiz kelas serta mengurangkan keberkesanan pengajaran.
“Setiap guru mempunyai gaya pengajaran tersendiri. Apabila dua guru mengajar serentak, wujud risiko percanggahan arahan dan kekeliruan dalam kalangan pelajar,” jelasnya.
Mengulas isu disiplin di sekolah, beliau berkata masalah tersebut perlu ditangani dengan menambah kaunselor dan guru disiplin, bukannya dengan menukar kaedah pengajaran yang rumit dan tidak realistik.
Dato Lo turut menghargai usaha berterusan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Roland Sagah Wee Inn serta Timbalan Menteri, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee dan Datuk Francis Harden Hollis dalam memperkukuh sistem pendidikan negeri ini melalui pendekatan yang praktikal dan mampan.
“Sarawak tidak perlu menerima bulat-bulat cadangan dari Putrajaya semata-mata kerana ia datang dari Persekutuan. Kita mempunyai tanggungjawab menilai dan memilih dasar yang terbaik untuk pelajar dan guru kita,” tegasnya.
Beliau menutup kenyataannya dengan menggesa agar Sarawak terus memilih dasar yang benar-benar sesuai untuk rakyatnya.
Oleh Shikin Mahmud