LAWAS: Nama kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba’kelalan dicadang kepada DUN Gunung Murud.
Ia antara usul dikemukakan oleh
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Ba’kelalan selain mendesak agar kerusi itu ditanding calon PBB bagi mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri akan datang.
Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Ba’kelalan, Steve Lius menjelaskan penukaran nama kerusi DUN Ba’kelalan ini adalah bagi mengelak nama sama dengan Kampung Ba’kelalan.
“Malah kegagalan parti komponen GPS (dulu BN) dahulu untuk merampas kerusi DUN ini telah menjejaskan ruang pembangunan menyeluruh bagi kawasan Parlimen Lawas,” katanya.
Steve yang juga Exco Pergerakan Pemuda PBB negeri telah diamanahkam membaca usul-usul berkenaan kepada Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada mesyuarat perwakilan PBB Cawangan Ba’kelalan yang diadakan di sini pada petang semalam.
Sementara itu, usul lain meminta jawatan Presiden parti yang disandang Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan dua Timbalan Presiden iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas (Pesaka) dan Awang Tengah (Bumiputera) dikekalkan tanpa bertanding.
Antara usul lain ialah memohon agar status Daerah Lawas diangkat menjadi Bahagian Lawas dan juga mohon agar semua projek mega yang telah diluluskan di Lawas untuk segera dilaksanakan.
Semua usul ini telah diserah kepada Awang Tengah dan Setiausaha Eksekutif PBB negeri, Datuk Awang Bujang Awang Antek yang hadir pada mesyuarat tersebut.
Oleh ADENG EDRUS