SERIAN: Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mencadangkan agar kerajaan Sarawak mempertimbangkan penubuhan syarikat konsesi bagi menguruskan penyelenggaraan dan pembaikan jalan raya di negeri ini.
Beliau menyatakan bahawa model syarikat konsesi yang digunakan di peringkat Persekutuan boleh diterapkan di Sarawak untuk mempercepatkan proses pembaikan dan penyelenggaraan jalan, terutamanya semasa menghadapi cabaran cuaca buruk seperti banjir.
Menurut Nanta, di peringkat Persekutuan, syarikat konsesi dilantik untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan jalan secara lebih efisien tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan tahunan.
“Dengan adanya syarikat konsesi, mereka dapat bertindak segera tanpa perlu menunggu peruntukan.
“Ini adalah kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk Sarawak, supaya kerja-kerja pembaikan jalan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Jalan Persekutuan yang terjejas akibat banjir di Jalan Serian-Sri Aman (KM 187.000 – 187.700), hari ini.
Walaupun Sarawak belum mempunyai syarikat konsesi untuk pengurusan jalan raya, Nanta memuji tindakan pantas yang diambil oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam menangani isu kerosakan jalan.
JKR Sarawak, menurutnya, telah menyediakan laluan alternatif untuk memastikan kelancaran pergerakan pengguna jalan raya yang terjejas.
Nanta turut menegaskan bahawa cadangan untuk menubuhkan syarikat konsesi ini adalah satu langkah yang wajar dipertimbangkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan kerja-kerja pembaikan jalan dilakukan dengan lebih sistematik dan tanpa sebarang kelewatan.
“Walaupun tiada syarikat konsesi di Sarawak, JKR Sarawak telah menunjukkan keupayaan mereka untuk bertindak pantas.
“Namun, dengan penubuhan syarikat konsesi, kerja-kerja pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan teratur kerana peruntukan untuk projek ini telah disediakan setiap tahun,” tambahnya.
Pengarah JKR Sarawak, Ir Dr Cassidy Morris, turut menyokong cadangan Menteri Kerja Raya tersebut dan berkata bahawa pihaknya sentiasa berusaha keras untuk memastikan jalan raya di Sarawak berada dalam keadaan baik meskipun tanpa adanya syarikat konsesi.
Dr Cassidy juga menjelaskan bahawa JKR Sarawak sentiasa mengambil langkah-langkah segera dalam menangani kerosakan jalan, seperti yang berlaku di Sipan-Temalat, daerah Song, di mana lencongan sementara telah disediakan bagi memastikan perjalanan pengguna jalan raya berjalan lancar.
Dalam pada itu, empat seksyen di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo Sarawak terjejas akibat banjir, namun laluan tersebut masih boleh dilalui oleh kenderaan.
Laporan terkini sehingga semalam, 30 Januari, menyebut bahawa lokasi yang terjejas melibatkan Seksyen Serian (KM187.000-KM187.700), Seksyen Selangau (KM524), Seksyen Bakun (Persimpangan Pusingan P di KM818.4), dan Seksyen Pujut (KM938-940 berhampiran Eastwood Golf & Country Club).
Walaupun paras air meningkat, tiada kerosakan dilaporkan di laluan berkenaan, dan pemantauan rapi sedang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta pihak berkuasa berkaitan.
Lebuh raya yang merentasi 786 kilometer ini mempunyai 11 pakej kontrak kerja dan melibatkan 25 seksyen, dari Telok Melano-Sematan hingga Jalan Pujut Link, Miri.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk berhati-hati ketika melalui laluan terjejas dan sentiasa peka terhadap perkembangan terkini keadaan jalan.
Oleh Amanda L.