PERBINCANGAN ini menganalisis pandangan Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Wong Soon Koh, mengenai perubahan yang disyorkan dalam landskap politik di Sarawak, khususnya berkaitan dengan peranan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak.
Pada pendapat Soon Koh yang berfokus pada keperluan untuk mempertimbangkan peralihan DAP Sarawak kepada status parti pembangkang tempatan sepenuhnya, meninggalkan badan kebangsaan dan portfolio persekutuan, serta memberikan contoh langkah yang diambil oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagai model untuk diikuti.
Namun persoalannya, mahukah DAP Sarawak menongkah arus? Tindakan meninggalkan badan kebangsaan dan portfolio Persekutuan, sedangkan ini merupakan perjuangan DAP Sarawak yang mahukan susah dan senang bersama, tidak mahu mengkhianati parti DAP pusat yang selama ini banyak memberikan mekanisme kuasa, rujukan, pengalaman dan kebijaksanaan dalam berpolitik.
PANDANGAN SOON KOH
Wong Soon Koh dikenali sebagai seorang yang berpengalaman dalam politik Sarawak, umur beliau sudah mencecah 81 tahun dan mewakili kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan sejak 1991. Hal ini bermakna sudah 33 tahun Soon Koh terlibat dalam politik kepartian. Berdasarkan pengalaman inilah beliau memperincikan pandangannya melalui pernyataan rasmi di media arus perdana Sarawak. Antara lain beliau menekankan pentingnya keputusan strategik yang perlu diambil oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, dalam menetapkan arah parti tersebut.
Cadangan tindakan dicadangkan oleh Soon Koh ini dengan membandingkan tindakan Loke yang menyertai Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan keputusan yang dijangkakan dari Chong. Beliau menilai tindakan Loke sebagai tindakan berani dan bermakna untuk menyokong perpaduan politik di Sarawak.
Namun tindakan Anthony Loke daripada aspek kerjasama yang besar daripada Pakatan Harapan dengan 18 parti-parti lain. Kerjasama tersebut dibuat bagi melengkapkan pembentukan sebuah kerajaan yang mencipta sejarah sebagai Kerajaan Perpaduan.
DILEMA SOON KOH ATAU CHONG?
Sebenarnya perspektif Soon Koh apabila berasa bahawa DAP Sarawak menghadapi dilema dalam peranannya sebagai sebahagian Kerajaan Persekutuan dan sebagai pembangkang di peringkat negeri. Soon Koh menganggap peranan yang berbeza ini boleh mengelirukan orang ramai dan mengaburkan prinsip serta objektif sebenar parti tersebut.
Kritikannya terhadap pendekatan dua perahu yang diambil oleh DAP Sarawak menekankan keperluan untuk ketelusan dan konsistensi dalam politik parti tersebut. Sebenarnya analogi dua perahu tersebut kurang tepat, kerana yang ada adalah perahu kecil dan kapal yang besar. Perahu kecil boleh diumpamakan sebagai DAP Sarawak manakala kapal laut yang besar adalah DAP Persekutuan. DAP Persekutuan adalah memandu, memberikan arah perjalanan dan menentukan dasar terbesar kepada DAP Sarawak meskipun dalam keadaaan tersebut DAP Sarawak boleh menentukan keperluan mereka sendiri sesuai dengan konteks tempatan berdasarkan ombak dan arus yang berlaku dalam konteks Sarawak.
KRITIKAN SOON KOH
Kritikan Soon Koh juga menyentuh tentang hubungan DAP dengan Kerajaan Persekutuan dan GPS di peringkat kebangsaan dan negeri. Soon Koh merumuskan bahawa walaupun pendekatan ini mungkin memberi petanda baik, namun dianggap beliau tidak praktikal dalam jangka masa panjang. Beliau menekankan keperluan untuk menilai semula strategi politik DAP Sarawak demi masa depan parti dan politik Sarawak secara keseluruhan.
Dalam konteks ini Soon Koh lebih melihat masa depan parti dan politik Sarawak secara keseluruhan agar tidak ada gangguan ketika sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak jika DAP Sarawak terus berperanan sebagai pembangkang di Sarawak. Hal ini bermakna Soon Koh bimbang akan perbahasan yang kritikal di DUN Sarawak.
Sebenarnya peranan DAP Sarawak sebagai semak dan imbang penting bagi memastikan aspek ketelusan, integriti dan perbahasan lebih kritis dalam membahaskan isu-isu yang berkaitan kepentingan Sarawak.
Bayangkanlah sidang DUN negeri tanpa pembangkang yang kini berlaku di Terengganu yang mengundang banyak isu yang dilunakkan oleh penyokong-penyokong kerajaan sahaja, sehingga banyak masalah serius negeri Pantai Timur itu tidak dibincangkan secara kritis, sifat wewenang yang ambil mudah hingga berlaku krisis seperti krisis beras di Terengganu dan tidak ada semak dan imbang terhadap pengurusan kewangan negeri Terengganu.
Memang niat Soon Koh baik kepada DAP Sarawak dengan menyeru kepada Chong Chieng Jen untuk menimbangkan dengan teliti langkah-langkah yang akan diambil oleh DAP Sarawak, dengan memberi tumpuan kepada kepentingan dan keharmonian negara. Kesemua ini menurut Soon Koh bagi mengekalkan perpaduan politik Sarawak dan menolak ekstremisme melalui kerjasama dengan GPS. Pandangan ini boleh dibahaskan lagi, bagi memberikan makna pandangan yang lebih bermakna terhadap cabaran dan ruang bertiwikrama dalam arena politik Sarawak.
REAKSI PELBAGAI
Cadangan transformasi politik DAP Sarawak ini mendapat pelbagai pandangan. Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyifatkan cadangan Soon Koh ‘tidak masuk akal’ dan DAP Sarawak akan kekal sebahagian daripada parti kebangsaan. Beliau menolak keras cadangan tersebut dan menegaskan bahawa DAP Sarawak akan terus menjadi sebahagian daripada parti kebangsaan.
Hal Ini menunjukkan terdapat perbezaan pandangan dalam parti itu sendiri mengenai langkah-langkah yang perlu diambil dalam menghadapi perubahan politik. Sudah tentu bagi Chieng Jen, ahli DAP Sarawak lebih mengetahui cara mengendalikan politik mereka sendiri.
Bagi penganalisis politik dari Universiti Tasmania, James Chin menegaskan bahawa walaupun idea untuk mengambil kira tahap nasionalisme Sarawak adalah relevan, pendekatan tersebut bukanlah jaminan kejayaan politik. Beliau mengambil sejarah parti politik sebelum ini, seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang gagal dalam percubaan mereka untuk menonjolkan nasionalisme Sarawak.
Chin juga menyatakan bahawa tiada bukti kukuh yang menyokong anggapan bahawa transformasi DAP Sarawak kepada parti berasaskan tempatan akan mendapat sokongan lebih ramai masyarakat Cina dan Dayak. Wong Soon Koh pernah terlibat dengan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Meskipun parti-parti tersebut bernuansa tempatan, akhirnya ketiga-tiga parti yang Soon Koh ada peranan besar dalam parti-parti tersebut ternyata gagal menarik perhatiaan dari segi perjuangan parti dan wajah kepemimpinan yang ditawarkan kepada pengundi dan rakyat Sarawak. Akhirnya PSB bergabung dengan PDP kerana sedar jika berterusan, PSB sukar mendapat tempat dalam arena politik Sarawak.
Mungkin Soon Koh terlupa bahawa PBDS pimpinan Leo Moggie pernah menjadi pemimpin dan penyokong kerajaan di peringkat Persekutuan akan tetapi menjadi pembangkang di peringkat Dewan Undangan Negeri Sarawak.
LANGKAH STRATEGIK
Apa pun, sebenarnya terdapat langkah yang lebih penting yang perlu diambil perhatian oleh DAP Sarawak untuk berkembang maju dan sentiasa dinamik. Antaranya ialah peri pentingnya DAP Sarawak untuk memperluaskan sokongan dalam kalangan Bumiputera Sarawak, terutamanya golongan Dayak dan Melayu. Inilah kunci kepada kejayaan politik DAP Sarawak boleh lakukan melalui melakukan peningkatan terhadap jumlah calon Bumiputera yang berkualiti tinggi, dikenali dan diterima ramai masyarakat majmuk serta mampu menguasai dan memahami isu-isu tempatan.
Maka, terdapat keperluan DAP Sarawak untuk melibatkan lebih banyak tokoh kalangan Bumiputera Sarawak dalam proses politik serta menyusun semula dasar-dasar parti untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat secara lebih menyeluruh di Sarawak.
Secara keseluruhan, perdebatan mengenai transformasi politik DAP Sarawak menunjukkan kompleksiti dalam mencari strategi yang sesuai untuk memenangi sokongan pengundi, terutamanya dalam kalangan Bumiputera Sarawak. Walaupun cadangan untuk menjadi parti berasaskan tempatan telah dipertimbangkan, penolakan yang kukuh menunjukkan bahawa terdapat perluasan ruang untuk strategi yang lebih inklusif dan efektif dalam menangani realiti politik di Sarawak.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).