KAMI JUARA … Pemenang-pemenang kategori Marathon Penuh 42 KM Terbuka pada larian Kuching
Marathon 2022, semalam.
JUARA Kuching Marathon Antarabangsa 2022, Anderson Saitoti Seroi mengakui bahawa cabaran di Bumi Kenyalang adalah yang paling menarik pernah dilaluinya.
Pelari asal Kenya itu menyifatkan bahawa laluan dan trek yang perlu dilalui adalah sangat mencabar dan menarik kerana bentuk geografinya yang unik.
“Laluannya sangat sukar tetapi saya mencuba yang terbaik. Walaupun dilitupi dengan tumbuhan hijau, namun saya berasa sangat panas.
“Sejak permulaan, saya dapat rasakan ini bukanlah laluan yang mudah. Pada kilometer ke-13 yang paling sukar bagi saya sehinggakan seorang pelari dari Jepun mula menghampiri.
“Ini merupakan kali pertama saya datang ke Malaysia dan saya berhasrat untuk menyertai Kuching Marathon ini lagi tahun hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menamatkan Kuching Marathon kategori 48KM.
Anderson Saitoti menamatkan lariannya dengan catatan masa dua jam 32 minit.
Cabaran yang sama turut dirasai oleh pemenang tempatan Kuching Marathon 48KM, Muhaizar Mohamad yang menamatkan lariannya dengan catatan masa dua jam 48 minit.
“Ini pertama kali saya menyertai Kuching Marathon 2022 dan banyak cabaran yang saya kena lalui.
“Permukaan yang berbukit membuatkan maraton ini mencabar bagi saya. Selain itu, larian ini dimulakan seawal jam 1.00 pagi dan biasanya maraton yang saya sertai sebelum ini dilakukan pada jam 8.00 atau 9.00 pagi,”katanya.
Muhaizar Mohamad merupakan atlet maraton negara yang mewakili Malaysia pada Sukan Asia Tenggara(SEA) 2017 dan 2019
Pada Sukan SEA 2017 dan 2019 beliau berjaya membawa pulang pingat gangsa untuk skuad olahraga Kontinjen Malaysia.
Oleh SHAHRUL QAIZAT & MOHD NEENATUL AIZAL