Pilihan raya ialah proses pembuatan keputusan menggunakan undi oleh kelompok masyarakat secara rasmi untuk memilih seseorang untuk memegang jawatan awam. Sejarah pilihan raya bermula sejak zaman silam Athen di Rome dalam pemilihan ketua agama atau Paus dan Maharaja Suci Rom kemudian beransur-ansur berubah dalam memilih perwakilan kerajaan di Eropah khususnya pada abad ke-17 dan menjadi satu bentuk mekanisme moden dalam demokrasi.
Proses ini sudah lama berlaku tanpa mengira perang dunia pertama, kedua dan krisis dunia seperti wabak Sepanyol Flu. Ketika wabak pandemik Covid-19 berlaku, terdapat pro dan kontra untuk mengadakan pilihan raya umum dan ini bukanlah isu terpencil kerana berlaku di negara maju dan negara membangun.
Namun terdapat negara yang terus mengadakan pilihan raya umum seperti negara Singapura, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Sri Lanka dan beberapa negara lain. Terdapat juga negara menangguhkan pilihan raya seperti negara Filipina menangguhkan pilihan raya ke tahun 2022.
Sebenarnya terdapat 70 negara menangguhkan pilihan raya umum mahupun di peringkat majlis tempatan di serata dunia. Sudah tentu ini memberikan petanda yang kurang baik dari segi amalan demokrasi yang cuba ditegakkan oleh seluruh masyarakat dunia.
Cabaran Sejagat
Terdapat beberapa persoalan sejagat apabila isu penangguhan pilihan raya Persoalan utama ialah tahap keselamatan rakyat atau pengundi yang perlu dipastikan berada dalam tahap kawalan dan tidak mengakibatkan cetusan cluster yang baharu Covid-19.
Terdapat juga kebimbangan kesukaran untuk penangguhan pilihan raya kerana dibimbangi akan menyebabkan ia dijadikan alasan untuk tidak mengadakan pilihan raya atau kerana tidak bersedia atau bimbang akan tewas pada pilihan raya.
Penangguhan ini juga dikatakan berpotensi dimanipulasikan untuk mengukuhkan kedudukan parti dan melemahkan kedudukan parti lawan. Maka, isu kepentingan diri, parti dan kuasa berlaku.
Apabila berlakunya penangguhan pilihan raya di peringkat majlis perbandaran (di barat), negeri dan parlimen ia amat dikhuatiri akan membawa kepada berlakunya defisit keabsahan kuasa kalangan masyarakat sivil. Sekiranya, ia berlaku berpanjangan maka ia memerlukan tempoh yang agak lama untuk dipulihkan kembali.
Penyertaan pilihan raya
Dengan kata lain keputusan penangguhan perlu mendapat sokongan semua pihak berasaskan sains dan data saintifik. Ia perlu dibincangkan secara lebih terbuka sama kalangan parti politik kerajaan, pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak awam agar objektif penangguhan tersebut tidak diselubungi oleh unsur-unsur memberikan faedah dan kepentingan kepada satu pihak sahaja. Ia perlu dilihat untuk memastikan segala kes Covid-19 terkawal dan jika diadakan pilihan raya pula adalah untuk memastikan peratusan undi yang lebih tinggi dan kurang terjejas akibat daripada pandemik ini.
Maka isu penyertaan pilihan raya merupakan isu penting menjadi cabaran besar apabila mengadakan pilihan raya ketika pandemik berlangung. Pola dibimbangi ialah peratusan mengundi lebih rendah. Hal ini didorong oleh ketakutan pengundi untuk turun mengundi apabila wabak Covid-19 masih dianggap berbahaya dan sukar untuk dikawal penularan.
Kos lebih tinggi
Jumlah peruntukan untuk mengadakan pillihan raya ialah sekitar RM1 bilion pada pilihan raya umum 2018. Namun pada PRU akan datang akibat Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengelak penularan wabak Covid-19, kos dijangka meningkat sehingga 50 peratus atau RM1.5 bilion.
Pembelian seperti kit swab, sarung tangan, keselamatan tambahan, tempat saluran baru undi, sanitasi, pekerja kesihatan, pelitup muka, alat suhu dan sebagainya diperlukan dan ini belum ditambahkan lagi kos hidup dan perkhidmatan semakin meningkat bagi membeli dan menampung penambahbaikan segala keperluan pembelian barangan dan menjayakan proses pilihan raya. Ternyata, penyediaan SOP baharu melibatkan tambahan perbelanjaan yang besar yang perlu dilaksanakan.
Ketelusan Kempen
Lazimnya terdapat pemantauan pilihan raya di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk memastikan proses pilihan raya dilaksanakan dengan lebih telus dan berintegriti tinggi. Ketika pandemik berlangsung terdapat masalah penghantaran pasukan pemerhati yang lebih ramai untuk memantau kawasan pengundian yang semakin luas. Proses kuarantin begitu lama dan memakan kos yang tinggi. Langkah-langkah mematuhi SOP menyukarkan pemerhatian lebih dekat kerana berlakunya peraturan penjarakan fizikal khususnya dalam proses mengundi dan mengira undi berlaku. Penggunaan rakaman video boleh dilakukan sebagai alternatif, namun ia memerlukan kos yang tinggi untuk memantau kawasan yang banyak di Sarawak.
Parti Berkelebihan
Dalam konteks situasi pandemik yang berlaku ini, seolah-olah memberikan kelebihan kepada parti yang besar yang mempunyai ahli yang ramai, pengaruh yang besar, berkemampuan dari segi kewangan dan mekanisme kuasa. Justeru, penguasaan terhadap media arus perdana dan media sosial dapat dikawal dengan adanya peruntukan lebih besar. Namun di pihak parti atau calon bebas misalnya, mereka tidak dapat menonjolkan diri kerana tidak mempunyai kelebihan tersebut hanya bergantung kepada sumber terhad untuk melakukan kempen, publisiti dan gerak kerja politik.
Situasi ini melemahkan lagi ketika norma baharu, apabila pergerakan terhad kepada golongan yang bukan arus perdana dari parti kerajaan memerintah untuk menembusi arus utama. Umpama arus balik, mereka boleh tenggelam oleh parti yang lebih besar pengaruh dan mempunyai tradisi sejarah yang panjang. Lebih-lebih lagi parti ini mampu menggunakan sumber yang ada untuk memberikan pelbagai saluran bantuan dan perkhidmatan kepada pengundi.
Penyertaan Pengundi
Penyertaan pengundi tertentu bagi mengundi dan balik kampung terbatas apabila pelbagai SOP perlu dipatuhi dan ini mengurangkan daya tarik dan minat pengundi di luar Sarawak, malah di luar bahagian Sarawak untuk balik mengundi. Pergerakan yang terbatas menyebabkan sukar untuk bergerak bebas bukan sahaja kepada pengundi tetapi kepada juru-juru kempen politik.
Hal ini menyebabkan aktiviti politik yang biasa berlaku tidak dapat dibuat seperti kempen dari rumah ke rumah, memberikan bantuan secara berleluasa, memperkenalkan calon, melakukan perarakan politik, berucap di tengah padang, kedai makan, di tempat awam dan sebagainya tidak dapat dilakukan.
Hal ini kerana jurukempen tidak dibenarkan kempen dari rumah ke rumah. Kalau dibenarkan pun akan dilakukan secara ketat seperti dihadkan tidak lebih 3 orang pada masa yang khusus, tidak boleh berjabat tangan atau sentuhan fikizal dengan pengundi, dan perlu sentiasa sanitasi tangan. Penyediaan alat suhu badan, penggunaan pelitup muka, ruang yang luas dan selamat diperlukan menyebabkan usaha-usaha kempen boleh terjejas dan terbatas.
Politik penyertaan akan terbatas apabula pengundi warga emas dan golongan berpenyakit kritikal akan berasa was-was untuk turun mengundi kerana bimbang ancaman kesihatan berada dalam risiko tinggi. Perkara ini perlu diteliti sebaik-baiknya agar tidak berlakunya penurunan undi dalam kalangan warga emas dan golongan yang berpenyakit kritikal. Penyediaan tempat khas bagi golonganini merupakan satu langkah yang perlu selain masa tertentu untuk golongan ini agar mereka lebih yakin untuk turun mengundi.
Berdasarkan situasi sedemikian perlunya cabaran-cabaran yang ada ini diberikan perhatian oleh semua pihak agar dapat memberikan kesuburan kelangsungan amalan demokrasi dengan lebih baik walaupun perlu berdepan norma baharu pada era pandemik Covid-19. Pilihan raya pasti akan berlaku, namun perlu persediaan yang lebih mencukupi dan menjamin keselamatan kesihatan rakyat di negeri Sarawak.