
KUALA LUMPUR: Kempen Final Jelajah Dunia 2025 pasangan beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah berakhir, selepas tewas dalam perlawanan 61minit pada peringkat separuh akhir di Hangzhou, China, hari ini.
Pemenang pingat emas Sukan SEA Thailand itu tewas 19-21, 13-21 kepada pasangan Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, sekali gus mencatat kekalahan kedua berturut-turut kepada lawan sama, selepas turut tewas dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, semalam.
Walaupun kecewa, Thinaah berkata mereka telah mempamerkan usaha dan intensiti yang tinggi, namun mengakui corak permainan bertahan mereka tidak cukup berkesan untuk mengekang pasangan Jepun berkenaan.
“Saya rasa buat masa ini kami mahu melihat semula perlawanan hari ini bersama jurulatih dan juga pasangan, kemudian berehat secukupnya.
“Kami mungkin akan mengambil cuti satu atau dua hari terlebih dahulu, sebelum memulakan semula latihan bagi menghadapi Terbuka Malaysia kerana kejohanan itu tidak lama lagi. Jadi kami mahu mengambil semua ini sebagai pengajaran, bangkit dan menjadi lebih kuat,” katanya.
Pearlyturut senada dengan pandangan tersebut, dan mengakui bahawa konsistensi pertahanan mereka masih menjadi aspek yang perlu dipertingkatkan melalui latihan berterusan.
Namun begitu, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para peminat yang sentiasa memberikan sokongan padu sepanjang musim ini, sambil menyifatkan perjalanan mereka sebagai satu “perjalanan penuh liku”, dengan bersama-sama meraikan kemenangan dan mengharungi kekalahan sepanjang tahun.
Sementara itu, pasangan Fukushima-Matsumoto akan bertemu sama ada pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee, atau pasangan China Liu Sheng Shu-Tan Ning, pada perlawanan akhir. – Bernama