

BINTANGOR: Kecekapan anggota bomba diuji melalui penganjuran Cabaran Kemahiran dan Taktikal BBP Bintangor 2025 yang memberi fokus kepada pengendalian peralatan operasi secara tepat, pantas dan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata pertandingan tersebut diadakan bermula 9.00 pagi, baru-baru ini.
“Pertandingan dilaksanakan di ruang bilik jentera balai dan disertai oleh enam pasukan, masing-masing menguji kemahiran teknikal dalam tiga acara yang dibahagikan kepada tiga stesen utama.
“Stesen pertama menilai kemahiran memotong kayu berbentuk segitiga menggunakan mesin gergaji berantai, manakala stesen kedua menguji kemampuan peserta memotong dawai tanpa memecahkan mentol atau belon menggunakan peralatan gergaji cakera bulat.
“Stesen ketiga pula menguji kecekapan peserta mengalihkan tiga biji bola ping pong dan empat botol menggunakan peralatan penyelamat Alat Penyebar ResQ Tech yang memerlukan fokus, kawalan pergerakan dan ketepatan tinggi,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pertandingan tersebut memberi penekanan kepada latihan berasaskan senario sebenar, terutama yang melibatkan penggunaan peralatan berat dan kerja berisiko tinggi.
“Ia bertujuan meningkatkan kemahiran anggota dalam mengendalikan peralatan dengan betul, pantas dan selamat kerana ia merupakan faktor kritikal semasa operasi penyelamatan.
“Penglibatan aktif anggota bomba dalam pertandingan ini turut menjadi indikator penting dalam menilai tahap kompetensi individu dan pasukan.
“Komitmen yang ditunjukkan oleh semua pasukan membuktikan kesediaan anggota bomba untuk meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan unit dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan,” katanya.
Tambahnya, pertandingan tersebut dinilai oleh panel penilai yang beliau sendiri, bersama Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mijan Pamin, PBK I Haron Jenai dan PBK I Bakar Ujang, bagi memastikan penilaian dijalankan secara teknikal dan objektif.
“Alhamdulillah, pertandingan berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.
“Ini menunjukkan disiplin dan kemahiran anggota bomba berada pada tahap yang sangat memuaskan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek