
KUALA LUMPUR: Agak sukar dan amat jarang dilakukan, namun dua petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merealisasikan cabaran menjelajah sejauh 1,600 kilometer (km) merentasi beberapa negeri di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 24 jam dengan hanya menunggang skuter.
Penulis Amrizan Madian yang juga Penolong Editor Kandungan Bernama.com serta jurufoto Muhammad Shafiq Hashim memilih cabaran ‘Iron Butt’ itu bagi menzahirkan semangat cintakan negara di samping menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

(Iron Butt ialah istilah penggiat aktiviti bermotosikal di Amerika Syarikat khususnya, yang merujuk cabaran menunggang sejauh 1,600 km dalam tempoh 24 jam)
Menunggang skuter berkuasa 160 cc, penulis dan Muhammad Shafiq yang menaiki skuter 500 cc, memulakan perjalanan pada 6.46 pagi di ibu negara, 26 Ogos lalu.
Dengan kelajuan purata 110 km/sejam, kami merentasi Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Negeri Sembilan sebelum menamatkan kembara di Kuala Lumpur pada 6.27 pagi keesokannya.

Tidak mudah, namun misi sulung itu berjaya dilaksanakan susulan perancangan rapi selama dua bulan, khususnya dalam memilih laluan serta masa yang sesuai untuk kami bertolak, selain mengambil kira faktor cuaca.
Sedikit-sebanyak pengalaman penulis sebagai peneraju Kelab Motosikal Bernama (BMC) membantu dalam perancangan itu.
“Jujurnya rahang saya hampir jatuh (ternganga akibat terkejut) apabila cif cakap hanya kami berdua yang akan jalankan misi,” kata Muhammad Shafiq yang juga ahli kelab BMC.
Dia sebenarnya tidak menyangka penulis benar-benar berhasrat memenuhi cabaran ‘Iron Butt’ itu, malah dia juga bagaikan tidak percaya misi kami tercapai, sekali gus mencipta rekod peribadi.

“Bila tengok resit pembelian minyak dan makanan yang mencatatkan masa dan tarikh, serta catatan odometer (meter pengukur jarak pada kenderaan), barulah saya percaya,” kata Muhammad Syafiq yang menyifatkan pengalaman itu sebagai sangat bermakna dan akan kekal dalam ingatannya sehingga akhir hayat.
Mungkin ada yang menganggap kami buat ‘kerja gila’ kerana bukan sahaja tidak tidur selama 24 jam tetapi juga mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk sebuah misi yang tidak akan diiktiraf oleh sesiapa.
Akan tetapi, ini cara kami menzahirkan semangat patriotik kami, menghargai kemajuan yang dicapai oleh negara selepas 68 tahun merdeka. – Bernama