SETELAH berjaya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesepuluh dan membentuk Kabinet, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berdepan pelbagai cabaran untuk menentukan ‘survival’ politiknya.
Cabaran pertamanya ialah apabila Dewan Rakyat mula bersidang Isnin depan.
Agenda pertama sidang itu ialah memilih Speaker baharu bagi menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun. Sekiranya ada satu nama sahaja dicalonkan, maka pemilihan tidak perlu dilakukan. Sebaliknya, jika dua atau lebih nama dicalonkan, maka pengundian dilakukan dalam kalangan 222 Ahli Parlimen.
Di sinilah bermulanya cabaran untuk Anwar, sama ada calon yang dicadangkan parti pemerintah mendapat sokongan majoriti, iaitu serupa seperti sokongan untuk Kerajaan Perpaduan.
Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan jumlah 74 kerusi Parlimen dikatakan turut menghantar calon untuk jawatan Speaker. Ini disahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar juga menghantar calon iaitu bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul. Ini disahkan sendiri oleh Johari yang menyatakan nama beliau memang ada dalam senarai calon yang dikemukakan partinya seperti dilaporkan media
Laporan media sebelum ini menyebut dua nama lain kemungkinan untuk jawatan Speaker iaitu bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Tan Sri Mohammad Ariff Md Yusof yang pernah menjadi Speaker ketika pemerintahan PH sebelum ini.
Berdasarkan notis yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin kepada ahli-ahli Parlimen Khamis lalu, pemilihan Yang Dipertua itu akan diadakan pada hari pertama persidangan, sebelum diikuti sesi mengangkat sumpah ahli-ahli Dewan Rakyat.
Undi percaya
Cabaran kedua Anwar selepas itu, ialah usul undi percaya terhadapnya. Anwar pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah menegaskan akan membentangkan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10. Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, langkah itu penting bagi membuktikan keabsahan beliau dari segi persepsi politik, selain penafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan.
Undi percaya ini penting kerana masih ada pihak mempertikaikan keabsahan Anwar memegang jawatan tersebut. Perkara itu berlaku apabila Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa, Anwar wajar mengemukakan bukti, yang beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk menjawat jawatan Perdana Menteri.
Di situlah angka akan menjelma. Ia bukan lagi ‘The Mathematical Theory of Politics’ seperti sebelum ini, tapi realiti.
Untuk rekod, PH mempunyai 82 kerusi, PN 74 kerusi, Barisan Nasional (BN) 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam, Parti Warisan Sabah (Warisan) tiga, Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing satu kerusi.
Jika Anwar terbukti mempunyai sokongan majoriti, maka ia akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keabsahannya memegang jawatan berkenaan.
Anwar sepatutnya tidak perlu melaksanakan undi percaya itu kerana pembentukan kerajaan sudah pun dilakukan. Tetapi beliau sendiri mahu melakukannya bagi memastikan bahawa beliau benar-benar dapat majoriti.
Kedua-dua persoalan itu akan terungkai apabila Dewan Rakyat bersidang Isnin dan Selasa depan.
Cabaran seterusnya ialah pembentangan Bajet 2023 tetapi tidak pasti bila tarikh. Kelulusannya juga memerlukan sokongan majoriti Ahli Parlimen. Sebelum ini, Anwar pernah menyatakan untuk membentang bajet mini terlebih dahulu untuk emolumen bagi membolehkan gaji penjawat awam diluluskan.
Kemudian muncul cabaran di luar lingkungan Anwar iaitu Perhimpunan Agung UMNO pada 11 hingga 14 Januari depan. Tumpuan sudah semestinya pada pemilihan parti itu.
Apakah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dicabar untuk jawatan Presiden UMNO? Umum tahu, sokongan kuat untuk Anwar bagi jawatan Perdana Menteri adalah daripada Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN, yang membawa bersamanya 30 kerusi Parlimen.
Isu UMNO
Tanpa Ahmad Zahid mengetuai UMNO dan BN, senario sokongan terhadap Anwar dan PH itu mungkin berubah? Kerana sokongan kuat itu juga, Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Sebab itulah pemilihan dalam UMNO kali ini menarik perhatian apatah lagi kekalahan besar BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) baru-baru ini menyebabkan ramai ahli BN menuding jari ke arah Ahmad Zahid. Selaku Pengerusi BN, beliau dianggap gagal mengemudi pakatan itu, selain didakwa menjadi punca kekalahan terburuk BN pada PRU-15.
BN cuma menang 30 kerusi pada PRU-15 termasuk 26 kerusi UMNO dan baki empat kerusi lagi milik MCA (2), MIC (1) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) satu kerusi. Pada PRU-14 2018, kerusi dimenangi BN mula merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13 dan jumlah itu terus berkurangan apabila berlaku ‘lompat parti’ kebanyakannya menyertai BERSATU. UMNO hanya memiliki 38 kerusi sebelum Parlimen dibubar baru-baru dan hanya mampu menang 26 kerusi pada PRU-15 lalu.
Lantaran itu, ramai dalam kalangan pemimpin UMNO, parti komponen BN, yang tidak lagi ‘sekepala’ dengan Ahmad Zahid, seterusnya menggesa beliau untuk meletak jawatan sebagai Presiden UMNO.
Laporan media baru-baru ini menyebut, sekurang-kurangnya tiga nama kemungkinan mencabar Zahid untuk jawatan Presiden UMNO.
Mereka ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga salah seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Sebelum ini, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan memberi sokongan penuh kepada Ismail Sabri untuk menggantikan tempat Ahmad Zahid.
Semua itu belum mengambil kira kes rasuah Ahmad Zahid membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang bakal bersambung semula di mahkamah mulai 16 Januari depan.
Kemudian, ujian seterusnya ialah pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Perikatan Nasional menganggap kemenangan calon mereka di Parlimen Padang Serai dan kekalahan tipis di DUN Tioman baru-baru ini sebagai bukti rakyat tidak meyakini kerajaan campuran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional ketika ini. Menurut Muhyiddin Yassin, PN akan mencuba sedaya upaya untuk mencatatkan kejayaan di enam-enam negeri itu untuk menumbangkan kerajaan perpaduan Anwar.
Sama-sama kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak