Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Cabaran dihadapi syarikat penerbangan tambang rendah
  • KOLUMNIS

Cabaran dihadapi syarikat penerbangan tambang rendah

Utusan Sarawak 23 hours ago

KEPUTUSAN Jetstar Asia menutup operasinya secara berperingkat sehingga pertengahan bulan depan menimbulkan persoalan penting mengenai daya tahan syarikat penerbangan tambang rendah atau Low-Cost Carrier (LCC) dalam pasaran global pada masa kini.

Situasi ini bukanlah sesuatu yang asing kerana Malaysia juga pernah menyaksikan penutupan syarikat penerbangan MYAirline secara tiba-tiba pada 2023.

Pemberhentian operasi tanpa amaran itu mengejutkan ramai penumpang yang terkesan akibat ketiadaan notis awal dari syarikat penerbangan berkenaan.

Malah berita penutupan LCC ini tidak terhad di rantau ini sahaja, boleh dikatakan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini hampir setiap tahun terdapat LCC yang terpaksa menggantung operasi seperti NokScoot (Thailand, 2020), Great Dane Airlines (Denmark, 2021), Blue Air (Romania, 2022), Viva Air (Colombia, 2023) dan Bonza (Australia, 2024).

Senarai ini semakin panjang jika ingin dihitung secara menyeluruh dan pastinya tidak akan terhenti setakat tahun ini sahaja.

Keadaan ini boleh berlaku kepada mana-mana syarikat, tidak kira besar atau kecil, lama atau baharu.

Lihat sahaja Jetstar Asia yang telah beroperasi hampir dua dekad tetapi akhirnya terpaksa menamatkan operasinya, meskipun pernah mencatatkan keuntungan selama enam tahun.

Sebaliknya, MYAirline sebuah syarikat baharu dengan jangkauan operasi yang masih terhad, tidak pun sempat meraih sebarang keuntungan dan hanya mampu bertahan kurang setahun sebelum menamatkan operasi.

Jadi, masihkah ada harapan kepada LCC ini untuk terus berkembang dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks?

Dalam landskap industri yang sangat kompetitif, LCC perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk peningkatan kos operasi seperti harga bahan api, caj lapangan terbang, ketidakstabilan mata wang, kekurangan tenaga kerja berkemahiran serta perubahan dasar penerbangan di peringkat serantau dan global.

PEMBERHENTIAN operasi Jetstar Asia tanpa amaran mengejutkan ramai penumpang yang terkesan akibat ketiadaan notis awal dari syarikat penerbangan berkenaan.

Namun, industri LCC sebenarnya telah menjadi pemangkin utama pertumbuhan pengangkutan udara global sejak dua dekad lalu. Model perniagaan ini berjaya membuka akses penerbangan kepada kelompok masyarakat yang lebih luas, terutama golongan berpendapatan sederhana.

Menurut data terkini Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), LCC kini menyumbang lebih 30 peratus daripada jumlah trafik penumpang udara global, meningkat ketara berbanding hanya 11 peratus pada 2004.

Statistik ini membuktikan bahawa model LCC masih relevan dan berpotensi besar untuk berkembang, namun realitinya tidak semudah yang disangka.

Bagi LCC yang masih bertahan dan sedang berusaha untuk kembali menjana keuntungan, mereka terpaksa menyesuaikan strategi harga dengan mengenakan pelbagai caj sampingan (ancillary revenue) bagi menampung peningkatan kos operasi.

Ironinya, langkah ini telah meletakkan beban tambahan kepada  pelanggan yang pada awalnya mengharapkan harga tiket rendah, tetapi akhirnya perlu membayar lebih untuk perkhidmatan asas seperti bagasi berdaftar, pemilihan tempat duduk atau pembelian makanan.

Tambahan pula, terdapat maklumat daripada penumpang yang menunjukkan kecenderungan kakitangan LCC untuk bersikap terlalu tegas dalam mengikuti peraturan operasi, terutama ketika menangani sikap penumpang seperti membawa bagasi melebihi berat, daftar masuk lewat atau silap dalam tempahan tiket.

Pendekatan ini, walaupun selaras dengan model perniagaan berasaskan kecekapan dan pengoptimuman kos yang menjadi teras operasi LCC, namun ia sering kali mengakibatkan kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh penumpang.

Malah dalam langkah mengawal kos ini, LCC lazimnya memilih untuk tidak menggunakan kemudahan jambatan udara (aerobridge), sebaliknya menggunakan laluan berjalan kaki dan tangga mudah alih untuk naik ke pesawat yang diletakkan jauh dari bangunan terminal.

Walaupun pendekatan ini menjimatkan caj penggunaan fasiliti lapangan terbang, ia menimbulkan ketidakselesaan terutamanya kepada penumpang berkeperluan khas dan warga emas apatah lagi ketika hujan lebat atau cuaca yang terlalu panas.

MYAIRLINE sebuah syarikat baharu tidak pun sempat meraih sebarang keuntungan dan hanya mampu bertahan kurang setahun sebelum menamatkan operasi.

Situasi ini meletakkan LCC dalam dilema untuk mencari keseimbangan antara langkah menjimatkan kos dengan keperluan memenuhi jangkaan pelanggan terhadap tahap keselesaan dan kemudahan asas yang wajar disediakan.

Bayangkan, jika terlalu banyak caj tambahan yang dikenakan atau perkhidmatan dianggap menyulitkan untuk dibuat, syarikat mungkin kehilangan kepercayaan pelanggan dan menjejaskan kadar isian tempat duduk (load factor) yang merupakan petanda penting kepada keuntungan syarikat.

Oleh itu, LCC perlu mencapai titik keseimbangan iaitu mengawal kos tanpa mengorbankan pengalaman pelanggan secara drastik agar terus kekal relevan dalam pasaran dan mampu bersaing dengan syarikat penerbangan yang lain.

Namun dalam memastikan keseimbangan antara kawalan kos dan kepuasan pelanggan ini, perkara yang tidak boleh diketepikan ialah keupayaan pihak pengurusan membuat keputusan berasaskan analisis data yang tepat dan terkini.

Kecekapan pengurusan menjadi tunjang kepada kemampuan syarikat dalam mengenal pasti peluang dan risiko lebih awal serta merangka pelan tindakan berdaya tahan.

Contohnya, pemilihan laluan penerbangan memainkan peranan besar dalam strategi kelangsungan LCC. Berbanding model berpusat yang digunakan oleh syarikat penerbangan konvensional, LCC lebih cenderung menggunakan model titik-ke-titik.

Hal ini membolehkan mereka mengurangkan kos transit, masa menunggu serta memaksimumkan penggunaan pesawat.

Dalam memilih laluan baharu, LCC akan meneliti potensi trafik penumpang, tahap persaingan dan caj lapangan terbang agar laluan tersebut benar-benar menjana keuntungan dan tidak membebankan dari segi operasi harian.

Pendekatan ini membolehkan mereka merancang jadual kru penerbangan yang kembali ke titik asal pada hari sama, sekali gus mengelak keperluan menyediakan penginapan semalaman kepada mereka.

Perkara ini merupakan satu amalan biasa dalam kalangan LCC yang menetapkan laluan penerbangan tidak melebihi tiga jam sehala bagi membolehkan penerbangan ulang-alik dilaksanakan dalam satu syif kerja.

LCC turut menekankan penggunaan pesawat yang seragam dalam inventori mereka. Sebagai contoh, AirAsia banyak menggunakan pesawat Airbus A320, manakala Ryanair hanya menggunakan Boeing 737-800.

Kebiasaannya, pesawat yang dibeli atau disewa oleh LCC merupakan model terkini yang direka dengan teknologi lebih efisien dan ringan, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan kos operasi jangka panjang.

Strategi pesawat seragam ini turut membolehkan penjimatan dalam latihan juruterbang dan kru penerbangan, penyelenggaraan yang lebih mudah serta keperluan alat ganti yang dapat diseragamkan.

Keseragaman ini juga meningkatkan fleksibiliti dalam penjadualan penerbangan dan mengurangkan masa pusing balik (turn around) iaitu tempoh antara pesawat mendarat dan berlepas semula.

Hal ini kerana kru penerbangan, juruteknik penyelenggaraan dan kakitangan darat sudah terbiasa dengan satu jenis pesawat sahaja, menjadikan proses pemeriksaan, penyediaan kabin dan pemuatan semula lebih pantas dan cekap.

Kecekapan ini membantu LCC mengekalkan kadar ketepatan jadual yang tinggi serta memaksimumkan penggunaan aset tanpa perlu menambah bilangan pesawat yang banyak.

Satu lagi aspek utama ialah pengurusan bahan api. Memandangkan bahan api merupakan salah satu kos terbesar dalam operasi penerbangan, LCC biasanya mengamalkan pembelian bahan api secara pukal serta menetapkan kontrak jangka panjang bagi mengurangkan impak turun naik harga pasaran.

Dari sudut pemasaran pula, LCC memanfaatkan strategi digital secara agresif. Melalui penggunaan platform media sosial, e-mel langsung, laman web mesra pengguna dan aplikasi mudah alih, mereka dapat menjangkau pelanggan dengan lebih luas dan murah berbanding saluran tradisional.

Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah membolehkan promosi disesuaikan mengikut demografi dan tingkah laku pelanggan secara tepat.

Tambahan pula, model perniagaan LCC tidak hanya bergantung kepada jualan tiket semata-mata.

Sebagai strategi pendapatan tambahan, mereka menjalinkan kerjasama strategik dalam pakej pelancongan dengan hotel, penyedia pengangkutan dan ejen pelancongan yang berfungsi sebagai sumber kewangan pelengkap bagi menyokong operasi harian syarikat serta menawarkan nilai tambah kepada pelanggan.

Walaupun sering timbul aduan kelewatan atau pembatalan penerbangan yang menyebabkan ketidakpuasan hati penumpang, hakikatnya bagi pihak LCC, mereka sentiasa berusaha meminimumkan gangguan operasi seperti itu kerana ia turut memberikan implikasi besar kepada syarikat.

Kelewatan jadual boleh mengganggu keseluruhan susunan penerbangan harian dan menjejaskan penggunaan pesawat secara maksimum.

Keadaan ini sekali gus boleh mengurangkan hasil pendapatan harian dan meningkatkan kos logistik yang tidak dirancang.

Hakikatnya, LCC masih kekal relevan dan amat diperlukan selagi mereka mampu mengekalkan harga tambang berpatutan serta memberikan perkhidmatan yang memenuhi jangkaan pelanggan.

Oleh itu, daya tahan LCC itu bergantung kepada strategi mereka sendiri untuk memastikan setiap keputusan yang diambil boleh mendatangkan keuntungan kepada syarikat tanpa menjejaskan kredibiliti mereka sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan tambang rendah.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Jalan raya semakin elok, kemalangan pula kerap berlaku

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.