Populasi dunia dijangka mencecah 9.1 bilion menjelang tahun 2050 dan ini bermakna jumlah pengeluaran makanan perlu meningkat daripada skala yang ada sekarang bagi memenuhi keperluan manusia sejagat.
Di negara manapun, usaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan untuk rakyat perlu pergiatkan, terutama di dalam bidang agromakanan.
Sarawak tidak terkecuali kerana Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak (MOMA) mempunyai sasaran besar untuk tidak terlalu bergantung kepada bekalan makanan import, pada masa yang sama meningkatkan eksport.
Sektor pertanian dilihat dapat memainkan peranan besar untuk menyumbang kepada ekonomi, menjana pendapatan daripada eksport, menjana pendapatan kepada peladang, penternak dan nelayan, sebagai sumber keselamatan makanan negeri serta mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak muda.
Malah sebelum ini MOMA menetapkan sasaran meningkatkan pendapatan petani sehingga RM4,000 sebulan. Seharusnya sasaran ini sudah dicapai pada tahun 2020 ini namun masih ada kelompongan yang belum terisi sehingga kini.
Bidang agromakanan di negeri ini masih berhadapan dengan banyak kekangan terutamanya mentaliti warga tani, warga ternak dan warga nelayan yang masih mempertahankan amalan konvensional dengan mengamalkan pertanian sara diri, tanaman yang lambat membawa pulangan serta menyumbang kepada pendapatan isi rumah yang kecil.
Bidang pengeluaran makanan juga kurang mendapat penyertaan pihak swasta, kedudukan geografi negeri yang mencabar sehingga sesetengah kawasan yang sesuai untuk pertanian amat sukar untuk didatangi serta masalah logistik pemasaran.
Sebagai contoh, Bario terkenal dengan produk beras Adan dan nanas Bario berkualiti tinggi yang mempunyai potensi besar untuk menerobos pasaran domestik dan antarabangsa. Malangnya, lokasi Bario menjadikan pemasaran kedua-dua produk ini masih terhad sehingga kini.
Seperti bidang lain, warga agro di negeri ini juga masih lambat menerima teknologi moden bagi merangsang pengeluaran dan kalau adapun, kosnya tidak mampu ditanggung oleh mereka atau tidak ekonomik jika dilaksanakan di ladang-ladang kecil.
Bagaimanapun, satu aspek yang paling tidak disenangi oleh warga tani, warga ternak dan warna nelayan adalah saingan daripada produk import yang dipasarkan jauh lebih murah daripada keluaran tempatan serta tidak bermusim.
Sebahagian besar pengguna pula mempunyai mentaliti sukakan produk yang sama tetapi lebih murah dan menganggap produk tempatan sebagai ‘produk mahal dan elit’.
Justeru bidang agromakanan di negeri ini perlukan strategi khusus untuk menangani kekangan-kekangan ini. Sehingga kini MOMA telah melaksanakan banyak pendekatan seperti menggalakkan petani terlibat di dalam pertanian komersial atau bidang pertanian yang boleh menjana pulangan lumayan.
Galakan dan sokongan juga diberikan kepada usahawan tani dan usahawan ternak, selain menggalakkan kaum wanita atau ahli keluarga mereka terlibat di dalam industri kotej bagi menambah pendapatan isi rumah.
Teras lain yang diberi perhatian adalah menggalakkan pertanian berasaskan permintaan pasaran, pertanian berteknologi tinggi, misalnya pertanian fertigasi serta menghasilkan lebih banyak produk dengan nilai tambah bagi pasaran luar negara.
Ini dilakukan dengan beberapa pendekatan seperti pelaksanaan pertanian bersepadu, alaman ladang kontrak, konsep pertanian berkelompok, pengunaan teknologi serta memberi sebanyak mungkin latihan pertanian kepada para petani.
Oleh Haini Darani