KUCHING: Pasukan Butuan Dragons yang berasal dari Bandar Butuan, Filipina, menyasarkan untuk menjuarai tiga kategori dalam Regatta Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2024.
Menurut pengurus pasukan, Joshua Waban, mereka yang terdiri daripada 27 pekayuh berasa teruja dan bersiap sedia untuk berentap dalam perlumbaan kali ini.
Katanya, rata-rata pekayuh mereka adalah pertama kali menyertai acara di Malaysia.
“Butuan Dragons merupakan pasukan berasaskan komuniti yang aktif dalam sukan bot naga, dengan 27 pekayuh yang menyertai perlumbaan kali ini.
“Kami mempunyai lebih kurang 60 pekayuh aktif di Filipina, dan kami menyertai tiga kategori dalam perlumbaan kali ini iaitu kategori Terbuka Premier, Campuran Premier dan Wanita Premier.
“Oleh itu, kami sasarkan untuk menjadi juara di ketiga-tiga kategori ini. Kami berharap dapat membawa pulang kejuaraan,” katanya ketika ditemui di Tebingan Kuching di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga melahirkan rasa kagum terhadap keindahan sungai dan keramahan yang diterima oleh pasukannya sepanjang berada di Kuching.
“Kami sangat gembira dengan penginapan yang disediakan dan layanan baik dari pihak tuan rumah,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal