

SELANGAU: Seorang lelaki warga asing berusia 47 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine dalam satu serbuan di kawasan ‘flyover’ Selangau, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, tangkapan dilakukan sekitar 2.15 petang oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah hasil maklumat dan risikan.
“Ketika ditahan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun berjaya diberkas selepas anggota menggunakan kekerasan minima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut menemukan 11 keratan tiub straw lutsinar yang disembunyikan dalam poket seluar suspek, dipercayai mengandungi ketulan kristal dadah jenis methamphetamine seberat 6.18 gram dengan nilai anggaran RM680.
Suspek dibawa ke IPD Mukah untuk siasatan lanjut dan ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.

“Siasatan awal mendapati suspek menjual dadah tersebut dengan harga antara RM50 hingga RM100 bagi setiap keratan straw,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan tiga hingga sembilan kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Suspek kini direman empat hari sehingga 22 Oktober bagi melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu, DSP Muhamad Rizal menegaskan IPD Mukah akan meneruskan operasi secara berterusan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah Mukah dan Selangau.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah ke talian hotline IPD Mukah di 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Tarani Lanting