Penyerang Manchester City, Erling Haaland kecewa selepas pasukannya sekadar seri 2-2 menentang Nottingham Forest di Stadium Etihad. – Foto AFP
MANCHESTER: Hasrat Manchester City memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris menerima tamparan hebat apabila sekadar seri 2-2 menentang pasukan bawahan Nottingham Foest di Stadium Etihad, sebentar tadi.
Anak buah Pep Guardiola dua kali mendahului permainan menerusi jaringan Antoine Semenyo dan Rodri, namun kedua-duanya dipadamkan oleh Morgan Gibbs-White dan Elliot Anderson.
City bermula garang dan membuka tirai jaringan pada minit ke-31 apabila Rayan Cherki melorongkan bola kepada Semenyo yang melakukan voli kemas menewaskan penjaga gol Forest, Matz Sels.
Bagaimanapun, pelawat bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-56 hasil gerakan balas pantas sebelum Gibbs-White memperdayakan Gianluigi Donnarumma dengan penyudah tumit yang bijak.
Rodri kembali meletakkan City di depan pada minit ke-62 menerusi tandukan padu hasil sepakan penjuru, namun Forest sekali lagi menghukum kealpaan tuan rumah apabila Anderson meledak rembatan lencong dari luar kotak penalti pada minit ke-76 untuk memastikan satu mata berharga buat pasukannya.
Lebih memeritkan buat City, kemenangan 1-0 pendahulu liga Arsenal ke atas Brighton & Hove Albion melebarkan jurang kepada tujuh mata.
City masih memiliki satu perlawanan dalam tangan, namun keputusan ini menyaksikan perebutan takhta kini bukan lagi dalam kawalan mereka.- AFP