SKUAD Kuching City FC kini dikhabarkan sedang memburu seorang lagi penyerang import asing dari England.
Baru-baru ini skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu telah berjaya mengikat seorang penyerang kebangsaan Liberia, Abu Kamara, 25, bagi memperkuatkan jentera serangan The City Boys dalam saingan Liga Premier musim ini.
Irfan mendedahkan pemain import baharu dari England terbabit dijangka akan berada di Kuching dalam masa terdekat.
“Selepas berjaya mengikat penyerang kebangsaan Liberia, Abu Kamara, kita kini masih lagi menunggu seorang lagi pemain berasal dari England dan beliau akan tiba ke Kuching dalam masa terdekat ini,” katanya.
Justeru, Irfan amat berharap kehadiran dua penyerang baharu dalam skuad ini ia akan dapat menambah sengat di bahagian serangan dalam mengharungi kempen Liga Premier 2022.
Dalam pada itu, Kuching City kini telah mengesahkan tiga pemain import mereka untuk musim ini iaitu Aylton Ferreira Ananias, Yuki Tanigawa dan Abu Kamara.
Kuching City dijangka akan melengkapkan senarai penuh pemain pada penghujung Februari ini, dalam tempoh masa yang diperuntukan oleh Malaysia Football League (MFL).
Anak didik Irfan telahpun memulakan latihan sejak Januari lalu, sebelum beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Sabah FC di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Kini persiapan latihan anak buah Irfan Bakti menjurus kepada tiga perlawanan persahabatan pra musim bagi menentang PJ City FC, Negeri Sembilan dan Selangor FC bermula 13 hingga 20 Februari ini.
Oleh ADI SAFARMAN