MENTERI Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyeru semua persatuan sukan di negeri ini agar mengandakan usaha dalam mempersiapkan atlet yang bakal berentap pada Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadual berlangsung di Johor pada 6 hingga 14 Mac tahun hadapan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk membuka semula kemudahan kompleks sukan untuk atlet SUKMA di negeri ini bagi berlatih pada 17 Jun dengan penggunaannya adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak menambah, misi memburu gelaran juara keseluruhan SUKMA edisi ke-20 seharusnya didukung dan disokong oleh setiap persatuan sukan di negeri ini kerana kali terakhir Sarawak muncul juara ialah 29 tahun lalu.
“Misi utama kita kali ialah untuk menjadi juara keseluruhan pada SUKMA Johor kelak kerana gelaran itu telah menjadi elusif bagi Sarawak selama 29 tahun yang lalu,” kata beliau kepada wakil-wakil persatuan sukan yang hadir di sesi perjumpaan yang berlangsung di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, kelmarin.
Turut hadir Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Puan Nancy Jolhie dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) , Dr Ong Kong Swee.
“Kita ada kira-kira lebih kurang 200 hari lagi untuk membuat persediaan sebelum pembukaan SUKMA Johor pada Mac tahun depan. Maka itu kita perlu fokus untuk menghadapinya dan seterusnya menjadi juara keseluruhan untuk temasya sukan ini,” katanya.
Menurut Abdul Karim, beberapa fasiliti sukan masih ditutup kepada orang ramai seperti kolam renang namun ia hanya akan dibuka kepada golongan atlet kontinjen negeri Sarawak sahaja untuk menjalani latihan persediaan.
Tegasnya, selagi ia melibatkan persiapan atlet negeri, beliau mahukan kesemua fasiliti sukan dibenarkan beroperasi semula kerana masa adalah begitu singkat untuk kontinjen negeri Sarawak jika keadaan kembali seperti biasa.
Atlet-atlet SUKMA Johor yang bakal bertanding dalam sukan ragbi dan bola sepak turut dibenarkan untuk kembali berlatih dengan syarat mereka harus mematuhi SOP ditetapkan dan semua perkara itu harus dimulakan secepat mungkin.
Beliau berkata, atlet atlet yang bakal bertanding perlu diberi suntikan motivasi agar mereka lebih bersedia dan positif menjalani latihan dalam persekitaran norma baharu.
Beliau turut yakin dengan dedikasi tinggi ditunjukkan oleh pengurusan sukan termasuk persatuan dan jurulatih, kontinjen Sarawak akan mempunyai satu pasukan yang kuat untuk berentap dalam temasya sukan dwitahunan itu untuk kembali muncul juara.
“Kita sudah kesuntukan masa dalam persiapan mencapai misi di mana Sarawak harus menjadi juara di SUKMA Johor. Saya mahu melihat Sarawak mendapat gelaran juara kerana sudah terlalu lama kita telah berusaha untuk mencapainya” ujar beliau.
Abdul Karim turut sempat melawat ke sesi latihan atlet renang dan terjun yang berlangsung di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pada 16 Jun lalu dan beliau berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau turut berinteraksi dengan jurulatih yang turun padang dan menyarankan agar mereka sentiasa memantau perkembangan atlet agar aspek kesihatan dan keselamatan sentiasa diambil berat demi kebaikan bersama.