
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Isnin, disokong oleh aktiviti belian saham pada harga rendah berikutan pasaran kebanyakannya rendah minggu lepas, didorong oleh sentimen perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang berhati-hati dan kekurangan data ekonomi yang positif daripada kedua-dua negara tersebut.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.58 mata kepada 1,519.37 daripada 1,516.79 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi kepada 1,518.06, meningkat sebanyak 1.27 mata.
Suasana pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 175 berbanding 76. Sejumlah 236 kaunter tidak berubah, 1,873 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 93.49 juta unit bernilai RM63.13 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata aktiviti dagangan kekal kurang menggalakkan minggu lepas seperti yang dapat dilihat daripada jumlah dagangan harian yang lemah, merosot di bawah paras dua bilion saham.
“Ini mungkin disebabkan penurunan sasaran indeks petunjuk pasaran pada 2025 oleh kumpulan penyelidik baru-baru ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Thong berkata pihaknya menjangka indeks akan berada dalam julat 1,510 hingga 1,520 hari ini.
Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd, prestasi pasaran tempatan sejajar dengan pasaran serantau yang bercampur-campur dan aliran keluar bersih asing yang berterusan menyaksikan KLCI merosot 1.3 mata kepada 1,516.8 selepas meningkat sebanyak 14.8 mata dalam tempoh dua hari.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9.71, Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM14.24, Public Bank dan CIMB, masing-masing mendatar pada RM4.26 dan RM6.84 manakala QL Resources naik tujuh sen kepada RM4.44 dan Sunway menambah empat sen kepada RM4.84.
Bagi saham paling aktif, Hartanah Kenyalang naik setengah sen kepada 16.5 sen, MPire meningkat dua sen kepada 11 sen, ATA IMS menambah satu sen kepada 31.5 sen dan Yinson melonjak lapan sen kepada RM2.42.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 31.70 mata kepada 11,387.04, Indeks FBMT 100 meningkat 30.60 mata kepada 11,154.30, Indeks FBM Emas Shariah naik 37.28 mata kepada 11,366.50 dan Indeks FBM 70 melonjak 91.37 mata kepada 16,387.95.
Bagaimanapun, Indeks FBM ACE merosot 6.06 mata kepada 4,513.26.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 20.74 mata kepada 17,729.05, Indeks Tenaga meningkat 6.85 mata kepada 725.30 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.50 mata kepada 151.30 dan Indeks Perladangan berkurangan 0.53 mata kepada 7,252.32.
– Bernama