
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis tetapi menyusut kemudiannya didorong oleh aktiviti pengambilan untung walaupun Wall Street mencatatkan kenaikan semalaman.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 3.48 mata kepada 1,744.33 daripada 1,747.81 semasa ditutup pada Rabu selepas dibuka tinggi 1.62 mata kepada 1,749.43.
Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 215 berbanding 184 manakala 290 kaunter kekal tidak berubah. Sebanyak 2,080 kaunter tidak diniagakan dan 165 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 225.61 juta saham bernilai RM163.25 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata aliran meningkat Wall Street berterusan berikutan kebimbangan mengenai gangguan kecerdasan buatan dilihat sebagai berlebihan.
“Dana runcit dalam FBM KLCI mencatatkan aliran masuk sederhana dalam tempoh dua hari lepas.
“Walaupun nilai keseluruhan masih rendah, kembalinya dana runcit adalah sesuatu yang menggalakkan. Kami menjangka indeks diniagakan antara 1,745 dan 1,755 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, Maybank merosot 12 sen kepada RM12.24, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.96 dan CIMB Group berkurangan dua sen kepada RM8.45. Tenaga Nasional dan IHH Healthcare, masing-masing tidak berubah pada RM14.18 dan RM9.00.
Dalam senarai paling aktif, Capital A kekal pada 60.5 sen, G3 Global merosot setengah sen kepada 1.5 sen, Nationgate berkurangan 7.5 sen kepada 93.5 sen, NEXG menurun 1.5 sen kepada 27.5 sen dan Aquawalk menyusut empat sen kepada 32 sen.
Kaunter paling untung termasuklah Nestle, naik 50 sen kepada RM111.00, Sunway Construction meningkat 25 sen kepada RM7.15, Kelington menambah 24 sen kepada RM5.36, Malaysian Pacific menokok 20 sen kepada RM32.20 dan Kuala Lumpur Kepong naik 18 sen kepada RM19.36.
Kaunter paling rugi ialah Dutch Lady merosot RM1.08 kepada RM32.00, Petronas Gas berkurangan 26 sen kepada RM18.22, Amway menurun 22 sen kepada RM5.15, Telekom Malaysia menyusut 13 sen kepada RM7.62 dan Hap Seng Plantations merosot 11 sen kepada RM2.20.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 berkurangan 18.64 mata kepada 12,625.53, Indeks FBM Emas menurun 20.77 mata kepada 12,802.82, Indeks FBM 70 naik 3.11 mata kepada 17,772.19, Indeks FBM Emas Shariah merosot 7.42 mata kepada 12,337.35 dan Indeks FBM ACE menambah 6.08 mata kepada 4,808.03.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 71.32 mata kepada 21,559.81, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.89 mata kepada 175.85, Indeks Tenaga berkurangan 0.43 mata kepada 769.30 dan Indeks Perladangan merosot 22.58 mata kepada 8,364.11. – Bernama