KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini secara kurang memberangsangkan selepas tidak berupaya mengekalkan momentum peningkatan awal ketika pelabur mengambil untung masing-masing susulan kenaikan baru-baru ini.
Pada 5.00 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.02 mata kepada 1,422.59 daripada 1,424.61 pada akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras itu yang dibuka menokok 0.18 mata pada 1,424.79, berlegar sehingga paras terendah harian 1,421.36 dan paras tertinggi harian 1,429.48.
Sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 439 berbanding 407 manakala 427 kaunter tidak berubah, 1,003 tidak diniagakan dan 73 yang lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.27 bilion unit bernilai RM1.76 bilion berbanding 3.31 bilion unit bernilai RM1.63 bilion, semalam.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran ditutup lebih rendah biarpun indeks serantau utama kebanyakannya lebih tinggi, mengambil petunjuk positif daripada pasaran Wall Street dan Eropah.
Seorang penganalisis pula berkata kalangan pelabur menunggu data teras perbelanjaan penggunaan peribadi Amerika Syarikat (AS) pada lewat hari ini yang merupakan pengukur inflasi pilihan Rizab Persekutuan AS.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi PPB Group mendahului senarai kaunter yang susut selepas rugi 56 sen kepada RM16.56 diikuti oleh Maybank dan Petronas Chemicals yang turun enam sen masing-masing kepada RM8.57 dan RM7.07 manakala CIMB susut empat sen kepada RM5.31 dan Press Metal berkurangan lima sen kepada RM4.87.
CelcomDigi sebaliknya naik empat sen kepada RM4.34 dan Public Bank menokok dua sen kepada RM4.00, sekali gus membantu mengatasi kerugian dalam indeks utama.
Saham aktif menyaksikan MMAG, BSL Corporation MMAG dan Fitters masing-masing kekal pada dua sen, 1.5 sen dan lapan sen manakala MyEG naik 3.5 sen kepada 76.5 sen.
Di papan indeks pula Indeks FBM Emas turun 4.78 mata kepada 10,419.63; Indeks FBMT 100 susut 5.25 mata kepada 10,114.03 dan Indeks FBM Emas Shariah menguncup 6.36 mata kepada 10,716.43.
Indeks FBM 70 meraih 30.74 mata kepada 13,512.38 dan Indeks FBM ACE 23.47 mata lebih tinggi pada 5,226.80.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 58.04 mata kepada 15,708.70; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.56 mata pada 171.08 manakala Indeks Perladangan menambah 10.80 mata kepada 6,741.28 dan Indeks Tenaga naik 4.54 mata kepada 836.81.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 1.94 bilion saham bernilai RM1.46 bilion berbanding 2.43 bilion saham bernilai RM1.32 bilion pada Khamis.
Waran sebaliknya meningkat kepada 417.71 juta unit bernilai RM77.22 juta daripada 280.26 juta unit bernilai RM53.65 juta.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan meningkat kepada sejumlah 909.05 juta saham bernilai RM223.97 juta daripada 604.14 juta saham bernilai RM258.84 juta, semalam.
Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 344.88 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (622.18 juta); pembinaan (105.81 juta); teknologi (338.12 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (67.56 juta); hartanah (102.37 juta); perladangan (21.46 juta); REIT (6.50 juta), dana tertutup (31,100); tenaga (123.16 juta); penjagaan kesihatan (71.16 juta); telekomunikasi dan media (48.50 juta); pengangkutan dan logistik (44.02 juta) serta utiliti (46.82 juta). – Bernama