KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini dengan lebih rendah, seiring dengan prestasi semalaman Wall Street selepas pelabur bertindak mengambil keuntungan masing-masing berikutan peningkatan kukuh yang dicatatkan setakat bulan ini.
Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 2.39 mata kepada 1,462.17 daripada paras 1,464.56, sebelum ini.
Indeks petunjuk utama itu dibuka susut 1.39 mata kepada 1,463.17.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 165 berbanding 90 manakala 236 kaunter lain tidak berubah, 1,824 tidak diniagakan dan 21 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 193.03 juta unit bernilai RM48.25 juta.
Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Kenny Yee berkata, kalangan peniaga bertindak mengambil keuntungan masing-masing kerana percaya bahawa peningkatan ekuiti baru-baru ini akan berakhir.
Malah, itu berkemungkinan menjadi alasan Dow Jones susut 476 mata manakala Nasdaq berkurangan 225 mata manakala hasil kertas Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) turun kepada 3.853 peratus.
Sementara itu, indeks Hang Seng Hong Kong melonjak 109 mata, didorong oleh petunjuk positif dicatatkan oleh Wall Street selain peningkatan Alibaba selepas mengumumkan pelantikan ketua pegawai eksekutif baharu bagi mengetuai cabang e-dagang domestik, Tabao dan Tmall.
Di peringkat tempatan, beliau berkata jualan pada saat-saat akhir menyaksikan FBM KLCI susut di bawah paras 1,465 dan mencecah sekitar paras 1,470 bagi sebahagian besar sesi dagangan.
“Dalam persekitaran yang tinggal enam hari dagangan lagi sebelum 2023 berakhir, kami yakin bahawa indeks penanda aras itu akan mencatat trend lebih tinggi di tengah-tengah penurunan hasil Perbendaharaan 10 tahun AS ke paras terendah dalam tempoh enam bulan.
“Berikutan itu, kami menjangkakan indeks berkenaan akan menyaksikan aliran peningkatan sekitar paras 1,460-1,470 pada hari ini,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank Maybank susut satu sen kepada RM8.96, Public Bank dan CIMB turun dua sen masing-masing kepada RM4.30 dan RM5.88, Tenaga Nasional berkurangan tiga sen kepada RM9.97 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.18.
Bagi saham aktif, MLABS naik setengah sen kepada satu sen manakala Leform turun setengah sen kepada 40.5 sen manakala TWL Holdings, Top Glove dan Auro Holdings tidak berubah pada 3.5 sen, 90.5 sen dan 17 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurangan 14.03 mata kepada 10,845.02, Indeks FBMT 100 turun 13.62 mata kepada 10,513.46, Indeks FBM 70 turun 4.31 mata kepada 14,543.60, Indeks FBM Emas Shariah merosot 6.21 mata kepada 10,990.47 dan Indeks FBM ACE kehilangan 6.35 mata kepada 5,187.52.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 32.03 mata kepada 16,419.92, Indeks Perladangan turun 10.69 mata kepada 6,987.86, Indeks Tenaga susut 1.18 mata kepada 816.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.01 mata kepada 171.89. – Bernama