KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan peningkatannya tengah hari ini, didorong oleh aktiviti memburu saham-saham yang kebanyakannya membabitkan saham wajaran tinggi.
Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 14.31 mata atau 0.93 peratus kepada 1,551.32 daripada paras 1,537.01.
Indeks penanda aras yang dibuka naik 1.97 mata kepada 1,538.98 dan bergerak dalam jajaran 1,537.25 hingga 1,552.05 sepanjang sesi dagangan pagi ini.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 566 berbanding 297 dengan 459 kaunter lain tidak berubah, 996 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.85 bilion unit bernilai RM1.24 bilion.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata di sebalik sentimen bercampur-campur yang ketara di pasaran luar, pasaran tempatan sebaliknya dijangka terus stabil dan menyaksikan dagangan positif dalam sektor berkaitan komoditi seperti minyak dan gas, perladangan dan emas.
Malah, saham-saham bagi sektor pembinaan, bahan binaan dan hartanah selain penjagaan kesihatan turut menyaksikan beberapa aktiviti memburu saham-saham berharga rendah.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma pembrokeran itu berkata dari sudut teknikal, paras rintangan diunjurkan dalam lingkungan 1,550-1,555 manakala paras sokongan pada 1,515-1,520.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Press Metal Aluminium meraih 29 sen kepada RM5.06; Telekom naik 14 sen kepada RM6.16; Sime Darby Plantation menokok 9.0 sen kepada RM4.44; Sime Darby menambah 5.0 sen kepada RM2.74; CIMB meningkat 9.0 sen kepada RM6.65 manakala YTL Power International meraih 5.0 sen kepada RM4.30.
Bagi kebanyakan saham-saham aktif, TWL kekal pada 3.0 sen manakala Zantat naik 6.0 sen kepada 54.5 sen, Fitters meraih setengah sen kepada 6.0 sen, Widad melonjak 1.0 sen kepada 8.0 sen dan TDM menambah 3.5 sen kepada 32 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menambah 96.71 mata kepada 11,681.48, Indeks FBMT 100 naik 95.05 mata kepada 11,316.87 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 97.06 mata kepada 11,810.89.
Indeks FBM 70 melonjak 99.02 mata kepada 16,328.45 namun Indeks FBM ACE sebaliknya susut 18.12 mata kepada 4,972.87.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 143.47 mata kepada 17,295.32, Indeks Tenaga mengukuh 13.67 mata kepada 979.71 dan Indeks Perladangan menambah 51.53 mata kepada 7,362.69, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.67 mata kepada 182.58. – Bernama