
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Selasa dengan lebih rendah, diasak aktiviti pengambilan untung selepas beberapa hari meningkat di tengah-tengah prestasi pasaran serantau yang kebanyakannya positif.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.03 mata kepada 1,515.56 daripada paras 1,521.59 di akhir dagangan semalam.
Indeks penanda aras dibuka susut 0.61 mata pada 1,520.98 namun sempat meningkat ke paras tertinggi harian pada 1,524.50 dalam sesi tengah sebelum turun ke paras terendah harian 1,515.56 di akhir dagangan.
Pasaran secara amnya adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 506 berbanding 405 manakala 450 kaunter tidak berubah, 1,079 tidak diniagakan dan 117 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.04 bilion unit bernilai RM1.81 bilion daripada 2.61 bilion unit bernilai RM1.74 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menyifatkan aktiviti pengambilan untung hari ini sebagai pembetulan sihat kerana membolehkan pasaran mengukuhkan aliran peningkatan baru-baru ini serta membina asas lebih kukuh bagi memastikan kenaikan mampan.
Pada masa sama, katanya, prestasi indeks serantau utama kebanyakannya lebih optimis seiring nada positif Wall Street ketika pelabur menjangkakan minggu yang sarat dengan data dan pelaporan pendapatan yang mungkin memberi gambaran terhadap impak daripada dasar perdagangan Presiden Donald Trump.
“Tumpuan juga beralih kepada kepada mesyuarat dasar Bank of Japan pada Rabu dengan bank pusat itu dijangka mengekalkan kadar faedah semasa dalam ketidaktentuan global selain angka inflasi yang kukuh,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan menyifatkan penyusutan pasaran hari ini sebagai fasa konsolidasi sihat dan bukannya petanda kemerosotan sentimen berikutan asas pasaran yang masih positif.
“Aktiviti pengambilan untung itu misalnya merangkumi saham-saham berorientasikan eksport berikutan prestasi kukuh dalam sesi dagangan sejak akhir-akhir ini yang juga penjajaran lazim apabila pelabur mendapatkan pulangan mereka.
“Sebaliknya, kaunter berasaskan pengguna (pengguna dan telekomunikasi) memaparkan daya tahan, menunjukkan pemulihan sederhana selepas susut sebelumnya, sekali gus membayangkan tanda-tanda awal kitaran sektor dan penjajaran semula portfolio dalam senario perubahan petunjuk ekonomi,” katanya.
Saham wajaran tinggi Maybank rugi empat sen kepada RM9.95, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing turun dua sen kepada RM4.43 dan RM6.87 manakala Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM13.64 dan CIMB menokok tiga sen kepada RM7.02.
Bagi saham aktif, NexG turun tiga sen kepada 34 sen, Kumpulan WTEC yang membuat kemunculan pertama di Pasaran ACE merosot 1.5 sen kepada 23.5 sen, Notion VTec susut 2.5 sen kepada 67 sen manakala Tanco tidak berubah pada 88 sen dan Chemlite Innovation naik dua sen kepada 23 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 26.39 mata kepada 11,274.41, Indeks FBMT 100 merosot 26.81 mata kepada 11,044.96, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 30.59 mata kepada 11,117.73 dan Indeks FBM ACE menguncup 11.99 mata kepada 4,618.10 manakala Indeks FBM 70 naik 29.64 mata kepada 15,904.98.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 63.21 mata kepada 18,100.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.69 mata kepada 148.92, Indeks Perladangan menguncup 61.27 mata kepada 7,162.35 manakala Indeks Tenaga naik 2.39 mata kepada 677.96.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.26 bilion unit bernilai RM1.57 bilion daripada 1.31 bilion unit semalam bernilai RM1.55 bilion.
Waran meningkat kepada 1.46 bilion unit bernilai RM140.98 juta daripada 1.03 bilion unit bernilai RM91.46 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan melonjak kepada 322.42 juta unit bernilai RM98.94 juta berbanding 274.96 juta unit bernilai RM90.13 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 148.58 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (157.06 juta), pembinaan (87.46 juta), teknologi (272.82 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (66.76 juta), hartanah (176.41 juta), perladangan (12.93 juta), REIT (17.32 juta), dana tertutup (3,400), tenaga (164.95 juta), penjagaan kesihatan (52.95 juta), telekomunikasi dan media (29.52 juta), pengangkutan dan logistik (26.78 juta), utiliti (45.32 juta) serta amanah perniagaan (10,900). -Bernama