
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia susut daripada kenaikan sebelumnya untuk ditutup rendah hari ini berikutan penjualan lewat dalam persekitaran prestasi bercampur-campur merentasi pasaran serantau.
Pada 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.68 mata atau 0.14 peratus kepada 1,523.48 daripada 1,526.16 ketika ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 3.98 mata lebih tinggi kepada 1,530.14, seterusnya merekodkan paras tertinggi harian 1,532.90 pada sesi dagangan awal sebelum ditutup rendah akhir dagangan.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 474 berbanding 435, dengan 499 kaunter tidak berubah, 988 tidak diniagakan dan 50 yang lain digantung.
Jumlah dagangan turun kepada 2.50 bilion unit bernilai RM2.03 bilion daripada 2.65 bilion unit bernilai RM1.85 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata jualan kukuh dalam Sime Darby Bhd ekoran pendapatan suku tahunannya lebih rendah daripada jangkaan, turut mengheret FBM KLCI ke wilayah negatif menjelang akhir dagangan.
Sime Darby melaporkan keuntungan bersih jauh lebih rendah sebanyak RM193.0 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac, 2025 (suku ketiga 2025) berbanding RM340.0 juta pada suku ketiga 2024, terutamanya disebabkan oleh keuntungan lebih rendah daripada semua bahagian teras, hasilnya juga merosot kepada RM16.31 bilion daripada RM18.84 bilion tahun ke tahun.
Thong berkata pasaran ekuiti di rantau ini kebanyakannya lemah menjelang laporan pendapatan Nvidia yang akan dikeluarkan lewat hari ini, ia dijangka menawarkan maklumat penting mengenai trajektori sektor teknologi.
“Indeks penanda aras domestik berada di bawah tekanan dalam persekitaran ketidaktentuan ekonomi global, kebimbangan mengenai hala tuju dasar Amerika Syarikat (AS) dan aktiviti penjualan dalam sektor terpilih.
“Dalam jangka masa terdekat, pasaran diunjurkan kekal dalam fasa penyatuan kerana pelabur kekal fokus pada perkembangan pembangunan tempatan dan global yang mungkin mempengaruhi sentimen,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Rakuten Trade mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI antara 1,520 dan 1,550, masing-masing mewakili paras sokongan dan rintangan, katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank jatuh satu sen kepada RM9.84, Public Bank merosot lima sen kepada RM4.33, CIMB menguncup tiga sen kepada RM6.87, Sime Darby berkurangan sembilan sen kepada RM1.78, Tenaga Nasional pula naik 10 sen kepada RM14.10 manakala IHH Healthcare meningkat satu sen kepada RM6.91.
Bagi saham aktif, Velesto melonjak satu sen kepada 17.5 sen, Tanco menokok dua sen kepada RM1.03, Oasis Home menambah 0.5 sen kepada 28.5 sen, manakala Permaju merosot setengah sen kepada 1.5 sen dan Nationgate jatuh satu sen kepada RM1.58.
Dari segi sektor, Indeks FBM Emas naik 0.11 mata kepada 11,397.17, Indeks FBMT 100 meningkat 0.99 mata kepada 11,161.36, bagaimanapun Indeks FBM ACE susut 24.26 mata kepada 4,549.34, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 21.39 mata kepada 11,375.51 dan Indeks FBM 70 menambah 83.34 mata kepada 16,306.65.
Di seluruh sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 90.77 mata kepada 17,957.90, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.74 mata kepada 152.70, Indeks Tenaga menambah 7.85 mata kepada 706.51, manakala Indeks Perladangan merosot 84.09 mata kepada 7,292.55.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.34 bilion unit bernilai RM1.80 bilion daripada 1.19 bilion unit bernilai RM1.60 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 815.91 bilion unit bernilai RM113.60 juta daripada 1.10 bilion juta unit bernilai RM134.59 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 346.43 juta saham bernilai RM119.44 juta daripada 351.78 juta saham bernilai RM109.53 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 294.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (197.51 juta), pembinaan (102.79 juta), teknologi (150.98 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (68.10 juta), hartanah (154.19 juta), perladangan (17.34 juta), REIT (19.93 juta), dana tertutup (3,000), tenaga (196.53 juta), penjagaan kesihatan (37.25 juta), telekomunikasi dan media (46.94 juta), pengangkutan dan logistik (19.95 juta), utiliti (36.99 juta) dan amanah perniagaan (7.200).
-Bernama