KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup hampir mendatar pada Rabu berikutan kekurangan pemangkin belian dalam persekitaran sentimen berhati-hati berikutan petunjuk bercampur-campur daripada pasaran global, kata peniaga.
Pada 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.06 mata kepada 1,429.55 daripada 1,429.61 semasa ditutup semalam.
Indeks barometer dibuka rendah 0.32 mata kepada 1,429.29 dan bergerak antara 1,425.71 dan 1,430.20 sepanjang hari.
Bagaimanapun, suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 396 berbanding 366 manakala 383 kaunter tidak berubah, 1,071 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.33 bilion unit bernilai RM1.41 bilion daripada 2.62 bilion unit bernilai RM1.73 bilion pada Selasa.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata bursa tempatan berada pada sesi tidak menentu dengan jumlah dagangan yang rendah berikutan pelabur enggan mengambil langkah yang besar.
“Kami menjangka keseluruhan prospek untuk jangka sederhana adalah positif, disokong oleh keadaan ekonomi dan pendapatan korporat yang lebih baik,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.66, Public Bank naik dua sen kepada RM4.02, Petronas Chemicals menambah tiga sen kepada RM7.25, TNB meningkat satu sen kepada RM9.26 manakala CIMB berkurangan dua sen kepada RM5.31.
Bagi saham aktif, Top Glove meningkat tiga sen kepada RM1.01, Revenue menambah satu sen kepada 26.5 sen, Jade Marvel naik setengah sen kepada 31.5 sen, Tanco meningkat 3.5 sen kepada 50.5 sen manakala Fitters berkurangan setengah sen kepada 7.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 3.18 mata kepada 10,489.46, Indeks FBMT 100 berkurangan 2.45 mata kepada 10,173.55 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 2.54 mata kepada 10,792.07.
Indeks FBM 70 berkurangan 11.59 mata kepada 13,633.29 dan Indeks FBM ACE naik 7.25 mata kepada 5,337.18.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 13.06 mata kepada 15,792.56, Indeks Perladangan naik 24.11 mata kepada 6,731.69 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.40 mata kepada 172.74 dan Indeks Tenaga berkurangan 6.53 mata kepada 869.17.
Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.74 bilion unit bernilai RM1.22 bilion daripada 1.87 bilion unit bernilai RM1.49 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 81.67 juta unit bernilai RM9.2 juta daripada 245.32 juta unit bernilai RM46.46 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 501.76 juta saham bernilai RM178.31 juta daripada 507.12 juta saham bernilai RM194.12 juta semalam.
Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 222.52 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (530.17 juta); pembinaan (93.71 juta); teknologi (178.11 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (31.17 juta); hartanah (229.04 juta); perladangan (21.56 juta); REIT (4.4 juta), dana tertutup (2,000); tenaga (129.68 juta); penjagaan kesihatan (212.94 juta); telekomunikasi dan media (32.85 juta); pengangkutan dan logistik (28.06 juta) dan utiliti (32.51 juta).
– Bernama