
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka kekal berada pada aliran meningkat minggu depan, menguji paras psikologi 1,600 dengan kemungkinan terdapat aktiviti pengambilan untung menjelang cuti hujung minggu yang panjang, kata ahli ekonomi.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata momentum pasaran tempatan akan dipengaruhi oleh reaksi daripada Wall Street, dengan sentimen mempunyai kaitan rapat dengan petunjuk makroekonomi Amerika Syarikat (AS) yang berubah.
“Pemangkin kepada perubahan jangkaan terkini ialah laporan data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) S&P AS bagi bulan Ogos yang dikeluarkan semalam apabila keyakinan yang tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan telah mendorong PMI komposit kepada paras tertinggi sejak Disember lepas.
“Bagaimanapun, kami kekal positif, dengan indeks dijangka diniagakan dalam julat 1,610 hingga 1,615 berikutan pelabur mengimbangi petunjuk luaran dengan sokongan dasar domestik yang berterusan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata minggu depan, pelabur akan memberi tumpuan kepada beberapa data ekonomi utama, termasuk keuntungan industri China (sehingga tahun semasa) dan PMI serta tuntutan awal pengangguran di AS.
“Pada peringkat domestik, indeks petunjuk pasaran cuba melepasi paras psikologi 1,600 pada Jumaat. Melepasi paras 1,600 akan membuka laluan kepada paras halangan seterusnya pada 1,620.
“Bagaimanapun, indeks petunjuk pasaran kini berada dalam kedudukan terlebih jual, justeru, kami tidak menolak kemungkinan terdapat aktiviti pengambilan untung dalam masa terdekat.
“Berdasarkan anggaran kami, indeks telah pulih dengan baik daripada penurunan sebelum ini. Sehubungan itu, kami menjangka FBM KLCI akan berada dalam julat 1,580 hingga 1,620 minggu depan,” katanya.
Pada asas mingguan, FTSE Bursa Malaysia KLCI meningkat 21.23 mata kepada 1,597.47 pada Jumaat daripada 1,576.34 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas naik 103.5 mata kepada 11,834.56, Indeks FBMT 100 meningkat 98.31 mata kepada 11,611.17, Indeks FBM Emas Shariah menambah 106.57 mata kepada 11,761.42, Indeks FBM 70 merosot 104.28 mata kepada 16,556.40 dan Indeks FBM ACE naik 30.17 mata kepada 4,743.62.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 142.89 mata kepada 18,222.96, Indeks Perladangan menambah 104.36 mata kepada 7,608.39 dan Indeks Tenaga naik 8.11 mata kepada 748.94.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 13 bilion unit bernilai RM13.53 bilion daripada 11.1 bilion unit bernilai RM11.87 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan mingguan Pasaran Utama meningkat kepada 7.39 bilion unit bernilai RM12.38 bilion daripada 7.16 bilion unit bernilai RM11.06 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran merosot kepada 2.91 bilion unit bernilai RM473.76 juta daripada 3.37 bilion unit bernilai RM453.56 juta pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.03 bilion unit bernilai RM681.11 juta daripada 1.64 bilion unit bernilai RM593.87 juta sebelum ini.– Bernama